SAZLI menyerahkan sumbangan sempena hari Krismas. FOTO AMIR MAMAT
SAZLI menyerahkan sumbangan sempena hari Krismas. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat


Melaka: Yayasan Petronas bersama Petronas Dagangan Berhad mengagihkan sebanyak 100 kit makanan dan penjagaan kebersihan diri kepada golongan kurang bernasib baik di negeri ini.

Bantuan menerusi program Sentuhan Kasih Hari Natal itu disampaikan Pengurus Besar Petronas Selatan, Sazli Zakaria kepada Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Ismail Barom di Pejabat JKM negeri, di sini hari ini.

Sazli berkata, semua sumbangan itu akan diagihkan kepada golongan memerlukan seperti anak yatim, ibu tunggal serta golongan lelaki bersendirian yang dikenal pasti menerusi rekod JKM.

Beliau berkata, langkah itu sebagai usaha mengurangkan beban ditanggung golongan terbabit, terutama mereka yang bakal menyambut perayaan Krismas pada tahun ini.

"Setiap tahun bersempena dengan perayaan besar di Malaysia, Yayasan Petronas mengedarkan barangan keperluan kepada penerima kurang bernasib untuk keperluan asas serta kesejahteraan mereka.

"Sentuhan Kasih Hari Natal ini adalah program kemasyarakatan bertujuan memberikan keceriaan serta bantuan kepada golongan kurang bernasib baik dalam meraikan perayaan Krismas.

"Ia sejajar dengan Agenda Kelestarian Petronas dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, penerima, Dahlia Ang, 70, berterima kasih kepada Petronas yang menyalurkan bantuan terbabit, sekali gus membantunya melakukan persiapan menyambut Krismas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2020 @ 6:01 PM