Baharom Bakar
am@metro.com.my


Kuala Nerus: Plasma darah bekas pesakit Covid-19 yang sudah sembuh sepenuhnya berpotensi dalam rawatan membantu pesakit wabak berkenaan.

Pakar Perubatan Transfusi Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, Dr Mohd Muhaimin Kambali berkata, plasma mengandungi antibodi itu mungkin dapat membantu melawan Covid-19 terutama kepada pesakit kritikal dan terjejas teruk.

Bagaimanapun, katanya, kajian sedang giat dilakukan bukan sahaja di negara ini, malah di seluruh dunia bagi menilai keberkesanan dan keselamatan prosedur rawatan itu.

"Walaupun masih di peringkat kajian, terdapat tiga bekas pesakit Covid-19 di negeri ini yang berpotensi menderma plasma darah.

"Seorang daripada bekas pesakit Covid-19 itu sudah menderma darah pada minggu lalu," katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Raia Monsoon Blood Donation di Raia Hotel @ Convention, di sini, hari ini.

Majlis Raia Monsoon Blood Donation anjuran bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri dan Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat) yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Hadir sama, Pengarah APM negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, Pengurus Besar Raia Hotel @ Convention Centre, Engku Morris Engku Hussin dan Presiden Kawat, Khairul Azlan Mohamad.

Dr Mohd Muhaimin berkata, proses pengambilan darah bekas pesakit Covid-19 dilakukan menggunakan kaedah aferesis iaitu mengeluarkan plasma serta platelet dan mengembalikan semula sel darah merah kepada penderma menggunakan mesin khas.

Beliau berkata, bekas pesakit Covid-19 yang bersetuju untuk menderma plasma darah akan menjalani proses kaunseling sebelum pengambilan darah dilakukan.

Dalam perkembangan lain, Dr Mohd Muhaimin berkata, sebanyak 60 beg darah mengandungi 350 mililiter setiap satu dihantar untuk kegunaan pesakit di Sabah, ketika negeri itu berhadapan dengan kekurangan bekalan darah susulan pandemik Covid-19, Mac lalu.

"Kita turut membekalkan sebanyak 50 beg darah yang setiap satunya mengandungi sebanyak 350 ml ke Pahang.

"Masalah kekurangan bekalan darah di negeri ini berlaku disebabkan musim tengkujuh dan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) ditutup memandangkan penuntut terbabit dan orang ramai antara penyumbang bekalan darah Terengganu," katanya.

DR Mohd Muhaimin (dua kiri) melihat proses pengambilan darah ke atas Che Adam (kiri) pada majlis derma darah, hari ini. FOTO/BAHAROM BAKAR.
DR Mohd Muhaimin (dua kiri) melihat proses pengambilan darah ke atas Che Adam (kiri) pada majlis derma darah, hari ini. FOTO/BAHAROM BAKAR.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2020 @ 5:38 PM