GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nor Azizah Mokhtar


Kuala Lumpur: Seorang pengusaha kolam ikan keli antara lima ditahan susulan pencemaran sungai yang menyebabkan bekalan air di 1,274 kawasan di Selangor terjejas pada 7 Disember lalu.

Lelaki berusia 50 tahun itu ditahan bersama empat warga Indonesia berusia lingkungan 28 hingga 47 tahun yang juga pekerja kolam ikan keli terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor Datuk Fadzil Ahmat mengesahkan penahanan kelima-lima lelaki itu di Bukit Sentosa, dekat Hulu Selangor, 9.30 malam, kelmarin.

"Pencemaran yang berlaku pada 7 Disember lalu disyaki berpunca pelepasan air dari kolam ikan keli yang diusahakan suspek tanpa lesen di Serendah sejak tiga tahun lalu.

"Perintah reman ke atas semua suspek dibenarkan selama satu hari sehingga hari ini dan permohonan sambungan reman dibuat di Mahkamah Majistret Hulu Selangor tadi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, permohonan untuk menyambung reman ke atas kesemua suspek ditolak pihak mahkamah.

Menurutnya, polis akan meneruskan siasatan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan.

Pada 7 Disember lalu, sebanyak 1,274 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air.

Ia membabitkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor 1, 2 dan 3 serta Loji Rawatan Air Rantau Panjang dihenti tugas selepas pencemaran air sumber mentah dikesan di Sungai Selangor.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Hal Ehwal Orang Asli, dan Pengerusi Bersama Hal Ehwal Selain Hal Islam (HESI) Selangor Hee Loy Sian mengesahkan kawasan ternakan ikan keli dipercayai menjadi punca pencemaran bau yang dikesan di Sungai Selangor menyebabkan LRA terbabit dihenti tugas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2020 @ 2:49 PM