TERTUDUH (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh. FOTO Iqmal Haqim Rosman
TERTUDUH (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Amir Mamat


Ayer Keroh: Lelaki mengaku tidak bersalah terhadap enam pertuduhan menjalankan perniagaan tidak sah, di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Tertuduh, Wong Kok Hing, 43, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Norma Ismail selepas pertuduhan berkenaan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menjalankan perniagaan sebagai pemberi pinjaman wang tanpa lesen sah kepada enam individu secara berasingan masing-masing berusia 40, 52, 31, 57 dan 23 tahun.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang dari RM250, 000 dan tidak lebih RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Semua kesalahan itu dilakukan tertuduh di sekitar daerah Melaka Tengah antara 25 Julai tahun lalu hingga 12 Disember lalu.

Prosiding pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin yang cadangkan jumlah jaminan RM50,000 diberikan kepada tertuduh bagi semua pertuduhan.

Tertuduh diwakili peguam, Loong Meng Si merayu kepada mahkamah supaya jaminan rendah diberikan dengan alasan tertuduh menghidap penyakit diabetes dan darah tinggi selain turut menanggung ibu serta bapa yang sudah tua.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 27 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2020 @ 1:10 PM