GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kota Bharu: Jumlah mangsa banjir gelombang kedua di Kelantan mencatatkan penurunan kepada 307 orang daripada 123 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 589 orang daripada 218 keluarga pada petang semalam.

Berdasarkan aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), lima pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di Pasir Mas membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh yang menempatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 88 orang, SK Bakong (83), SK Kedai Tanjong (69), SK Sri Rantau Panjang 2 (42) dan SK Kubang Kual (25).

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang Imran Ismail berkata, setakat 8 pagi ini, Sungai Golok di Rantau Panjang masih kekal mencatatkan bacaan melepasi paras bahaya iaitu 9.55 meter (m) (bahaya 9 m), namun menyaksikan trend penurunan.

"Keadaan paras air Sungai Golok setakat ini terkawal dan ia bertambah baik, malah tinjauan kami secara berkala sebanyak dua kali sehari setakat ini juga mendapati hanya beberapa kampung di kawasan rendah masih digenangi air iaitu banjir termenung kira-kira 0.5 m termasuk di Kampung Gual Tok Deh yang menyebabkan beberapa penduduk masih kekal di PPS.

"Berdasarkan keadaan cuaca setakat ini, iaitu tiada hujan direkodkan di Rantau Panjang dan di Jenob (Hulu Golok), kita menjangkakan situasi banjir di sini akan bertambah baik dan lebih ramai penduduk terjejas akan dibenarkan pulang ke kediaman mereka hari ini," katanya.

Beliau berkata, hanya beberapa jalan di kawasan pedalaman dan berdekatan dengan pinggir sungai masih ditutup kepada kenderaan ringan termasuk Jalan Sekolah Cina Rantau Panjang yang digenangi air pada paras 0.48 m, Jalan Bunga Raya (0.55 m), Jalan SK Gual Tok Deh (0.37 m) dan Jalan Balai Polis Jeram Perdah (0.59 m).

Selain itu, mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat masih merekodkan bacaan melepasi paras amaran iaitu 2.48 m (amaran 2.15 m).

Gelombang kedua banjir melanda di Kelantan sejak minggu lalu, manakala gelombang pertama berlaku pada awal Disember ini dalam tempoh kurang seminggu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2020 @ 10:45 AM