GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Seorang wanita Orang Asli Temiar yang tinggal di Kampung Jedip, Pos Brooke, dekat sini, meninggal dunia dipercayai selepas minum sejenis ubat cecair, hari ini.

Ibu tunggal kepada dua anak, Satina Alang, 38, disahkan meninggal dunia di Hospital Gua Musang pada 3.30 petang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gua Musang, Deputi Superintendan Sik Choon Foo berkata, dalam kejadian 5 petang semalam, mangsa sempat berjumpa dengan adik perempuannya.

Beliau berkata, adik wanita itu yang tinggal di kampung sama memaklumkan badan mangsa lemah selepas minum ubat cecair itu.

"Adik wanita itu membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Pos Brooke untuk rawatan menerima dan ketika ketika itu mangsa masih bernafas.

"Pihak klinik menghantar kakaknya ke Hospital Gua Musang untuk rawatan kecemasan dan mangsa ditahan di Wad Wanita hospital berkenaan.

"Pada 3.30 petang hari ini, doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kesukaran bernafas," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sik berkata, siasatan lanjut mendapati tiada unsur jenayah terhadap mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Beliau berkata, mangsa yang bercerai pada 2010 mempunyai dua anak berusia 17 dan 22 tahun.

"Mangsa tiada penyakit kritikal dan bekerja sebagai buruh kebun sayur di sebuah syarikat di Tanah Tinggi Lojing sejak beberapa tahun lalu.

"Ketika kejadian dua anak mangsa iaitu seorang lelaki dan perempuan tiada di rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2020 @ 8:04 PM