Oleh Nurul Hidayah Bahaudin


Serdang: Sebuah syarikat dikesan berselindung di sebalik aktiviti pemprosesan cuka kayu getah bagi menjalankan kegiatan memproses pokok karas secara haram sejak 2018.

Kegiatan itu terbongkar selepas serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang bersama Pegawai Hutan Daerah Selangor Tengah Khairul Nizam Mohamed di tiga premis di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, di sini, pada jam 8.30 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, pihaknya menerima empat laporan berhubung kegiatan itu daripada penduduk setempat pada Oktober lalu.

"Hasil laporan itu, kami membuat risikan di kawasan Hutan Simpan Ayer Hitam, Puchong selama tiga minggu bermula awal Oktober lalu. Bagaimanapun tiada sebarang kegiatan mencurigakan berlaku di dalam kawasan hutan itu.

"Seterusnya kami melakukan intipan di kawasan premis ini selama seminggu selepas menerima maklumat penduduk setempat terhidu bau kayu selain curiga dengan aktiviti di premis berkenaan," katanya pada sidang media di lokasi serbuan, hari ini.

Razali berkata, hasil serbuan itu, pihaknya merampas 10 pokok kayu karas, 16 guni habuk dengan setiap guni mengandungi 100 kilogram habuk, 37 botol cecair cuka kayu getah dan 10 kulit kayu gaharu.

"Semua rampasan itu dianggarkan bernilai lebih RM2 juta dan jumlah berkenaan tidak termasuk nilai peralatan digunakan bagi memproses hasil hutan terbabit.

"Kami turut menahan dua lelaki tempatan yang juga penjaga premis serta sepasang suami isteri warga asing yang bekerja di premis berkenaan selain pemilik premis berusia antara 30 hingga 58 tahun," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati syarikat itu hanya memiliki pendaftaran dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia bagi perniagaan cuka kayu getah.

"Bagi setiap kayu karas yang diperoleh, mereka perlu mempunyai kebenaran bagi membawa keluar hasil hutan berkenaan.

"Namun semakan dilakukan dengan pemilik premis berusia 58 tahun itu mendapati dia gagal mempamerkan kebenaran bagi menjalankan kegiatan terbabit," katanya.

Katanya, modus operandi syarikat itu adalah membawa kayu karas yang didakwa diperoleh dari Pahang ke dua premis berkenaan untuk diproses pasangan suami isteri warga asing berkenaan dengan gaji antara RM1,400 hingga RM1,600 sebulan.

"Hasil hutan itu dihasilkan sebagai tiga produk iaitu minyak gaharu, arca serta colok. Difahamkan minyak gaharu dihasilkan akan dieksport ke luar negara pada kadar antara RM300,000 hingga RM500,000.

"Bagi pokok karas yang tidak dapat menghasilkan minyak pula dijadikan sebagai arca dengan dijual mengikut tawaran harga pasaran.

"Selain itu, habuk daripada proses berkenaan pula dimampatkan sebelum dijadikan sebagai colok dan mengasingkan kulit pokok untuk dijual," katanya.

Menurutnya, semua proses berkenaan dilakukan di dua premis yang disewa RM1,500 sebulan selain sebuah premis dijadikan sebagai pejabat yang dibeli pada harga RM500,000.

"Kami masih menyiasat dari mana syarikat ini memperoleh bekalan pokok terbabit dan ke mana produk yang dihasilkan mereka dijual.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 84(1) Akta Perhutanan Negara 1984," katanya.

Kulit kayu gaharu ketika serbuan tempat memproses kayu gaharu secara haram di tiga premis di Jalan PUJ 8/7, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Serdang. FOTO AZIAH AZMEE
Kulit kayu gaharu ketika serbuan tempat memproses kayu gaharu secara haram di tiga premis di Jalan PUJ 8/7, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Serdang. FOTO AZIAH AZMEE

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2020 @ 6:17 PM