Datuk Rosol Wahid.
Datuk Rosol Wahid.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Nilai jualan produk buatan Malaysia di marketplace utama pada suku ketiga tahun ini meningkat 485 peratus kepada RM43,533,645.57 berbanding pada RM7,437,702.26 pada suku pertama.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, keberkesanan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) secara khususnya diukur berdasarkan kepada mekanisme pelaporan jumlah nilai jualan di sektor peruncitan di negara ini dan platform atas talian yang menjadi rakan strategik KPDNHEP.

Katanya, kementeriannya mengambil beberapa inisiatif strategik seperti memanfaatkan sepenuhnya kelebihan ekosistem ekonomi digital dan infrastruktur e-dagang di negara melalui portal online marketplace utama di Malaysia seperti Lazada, Shopee, PG Mall, dan Prestomall.

Selain itu, pihaknya membantu meningkatkan jumlah Stock Keeping-Unit (SKU) produk buatan Malaysia untuk disenarai tetap di dalam sektor peruncitan yang meliputi pasar raya besar, pasar raya, kedai serbaneka dan kedai serbaneka di stesen minyak.

"Ia termasuk menyewa lot perniagaan dalam bentuk kiosk di pusat beli belah terkenal di seluruh negara," katanya menjawab soalan Alan Ling Sie Kiong di Dewan Negara, hari ini.

Beliau ditanya mengenai apakah rancangan dan langkah proaktif yang diambil kementerian untuk mendorong rakyat Malaysia menyambut seruan KBBM dalam usaha memulihkan semula pertumbuhan ekonomi negara.

Rosol berkata, kementeriannya juga mengadakan promosi dan kempen berterusan dalam media cetak, media elektronik, media baru dan media digital serta di laman media sosial serta memperbanyakkan iklan radio dan televisyen berkaitan.

Ia termasuk juga dokumentari siri khas produk buatan Malaysia, jingle, promosi jualan dan karnival KBBM di akhbar-akhbar utama dan saluran televisyen utama negara.

"Pada suku ketiga tahun 2020 melalui inisiatif penembusan produk buatan Malaysia dalam sektor peruncitan di pelbagai rangkaian pasar raya besar luar negara dan tempatan, pelaksanaan KBBM berjaya mencatatkan impak positif peningkatan nilai jualan produk tempatan yang signifikan berjumlah RM1,621,290,594.91 pada suku ketiga bagi tahun 2020 berbanding RM1,592,678,980.12 pada 2019," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2020 @ 12:47 PM