Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang pada peringkat awal sebelum ini dilihat berjaya mengawal penularan Covid-19 di kawasan berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ramai pihak meragui tindakan pelaksanaan PKPB bersasar di Lembah Klang sebelum ini.

"Melihat kembali ketika penularan jangkitan di Sabah, kami membuat ramalan menjangkakan kadar R naught (RO) di Lembah Klang adalah tinggi yang mendorong kepada perlaksanaan PKPB bersasar ketika itu.

"Di Lembah Klang, kepadatan penduduk adalah tinggi selain kes positif yang direkodkan tertumpu kepada pekerja warga asing. Jika PKPB tidak dilaksanakan, dianggarkan empat juta penduduk di kawasan ini akan djangkiti Covid-19," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Noor Hisham berkata, kadar RO berjaya dikurangkan kepada 0.97 setakat ini dan pihaknya mempunyai matlamat untuk menurunkan kadar itu kepada 0.5 atau 0.4.

"Apa yang kita lakukan sekarang adalah mencari pesakit dengan mensasar individu atau kumpulan tertentu untuk menjalani saringan.

"Sebelum ini, kita berjaya mengawal penularan jangkitan di Kedah, Sabah dan Sarawak. Bagi gelombang ketiga ketika ini, kebanyakan dilaporkan adalah membabitkan kes warga asing.

"Oleh itu, kita mempergiatkan saringan di tempat kerja, meningkatkan tingkatkan saringan komuniti dalam tempoh sebulan dua ini," katanya.

Mengulas mengenai peningkatan jangkitan petugas kesihatan, beliau memaklumkan ada sebahagian daripada mereka yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, ada petugas kesihatan yang mempunyai gejala tidak sepatutnya datang bertugas.

"Namun masih ada yang datang selain tidak memakai pelitup muka. Ada kalanya mereka (petugas kesihatan) ambil mudah dan terlupa bahawa jangkitan boleh berlaku. Dua kluster dikenal pasti di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang iaitu Kluster Yayasan dan Batu 9 membabitkan petugas kesihatan dengan 122 kes positif.

"Kita sering kali mengingatkan semua pihak bukan sahaja orang awam, malah petugas kesihatan serta barisan hadapan supaya mematuhi SOP ditetapkan bagi mengelakkan jangkitan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2020 @ 8:18 PM