Keadaan cuaca di Semenanjung terutama Kelantan dan Terengganu diramal bertambah baik apabila rekod taburan hujan menunjukkan semakin berkurangan.
Keadaan cuaca di Semenanjung terutama Kelantan dan Terengganu diramal bertambah baik apabila rekod taburan hujan menunjukkan semakin berkurangan.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Keadaan cuaca di Semenanjung terutama Kelantan dan Terengganu diramal bertambah baik apabila rekod taburan hujan menunjukkan semakin berkurangan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Jailan Simon berkata, jangkaan itu hanya untuk tempoh minggu ini, namun beliau tidak menolak kemungkinan berlaku lagi hujan bermula akhir Disember hingga Januari ini berikutan monsun timur laut belum berakhir.

"Jika dilihat kepada taburan hujan untuk minggu ini, memang semakin berkurangan dan mula berhenti, cuma sesekali berlaku pada sebelah siang dan malam di sesetengah kawasan di Semenanjung.

"Boleh dikatakan hujan berterusan seperti sebelum ini sudah tiada tetapi musim (monsun timur laut) ini masih panjang dan peluang berlaku (hujan) itu tetap ada.

"Namun, untuk tempoh seminggu ini, kita hanya dapat ramalkan banjir di Pantai Timur semakin surut kerana faktor taburan hujan semakin berkurangan," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, selepas Semenanjung, perubahan monsun timur laut bakal beralih dan bertumpu pula kepada Sabah dan Sarawak pada penghujung bulan ini hingga Mac depan.

"Bagi cuaca di Sabah dan Sarawak MetMalaysia sudah mengeluarkan amaran tahap waspada susulan ramalan hujan berterusan untuk beberapa hari ini.

"Biasanya berlaku banjir di Sabah dan Sarawak antara Januari hingga Februari kerana taburan hujan tinggi akibat perubahan monsun timur laut," katanya.

Katanya, MetMalaysia hanya dapat memberikan ramalan tepat tiga hari sebelum berikutan corak perubahan cuaca tahun ini agak berbeza berbanding tahun sebelum akibat dipengaruni faktor cuaca panas di Kutub Utara.

"Tahun ini agak memberikan cabaran bagi kami kerana corak cuaca nampak berbeza, jadi kami lebih berhati-hati dalam membuat ramalan dan perlu membuat pemantauan dari semasa ke semasa.

"Seperti yang kita sedia maklum, keadaan monsun barat daya tahun ini agak lemah terutama antara Jun hingga Oktober yang menyebabkan keadaan agak lembab dan tiada kejadian jerebu di negara kita.

"Selain itu, kajian di Amerika Syarikat juga mendedahkan cuaca kawasan Kutub Utara agak panas pada masa ini berbanding kebiasaan yang menyebabkan monsun timur laut tahun ini tidak berapa kuat.

"Jadi kita lebih banyak mendapat hujan monsun akibat tiupan angin dari timur berbanding timur laut kali ini dan menyebabkan setakat ini Kelantan dan Terengganu banyak hujan berbanding di Johor dan Pahang," katanya.

Katanya, beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa mendapatkan maklumat tepat dan terkini daripada MetMalaysia dan agensi berkaitan untuk sebarang persediaan.

"Malah, mereka yang ingin bercuti dinasihatkan supaya merancang perjalanan. Bagi yang ingin bercuti ke pulau dan pantai itu, jika boleh tangguhkan dulu kerana ketika ini ombak masih tinggi dan diramalkan berlarutan hingga Februari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2020 @ 3:42 PM