Lizam Ridzuan

Kuala Lumpur: Bermacam ragam dan drama. Itu antara gelagat kanak-kanak yang terpilih menyertai Program Berkhatan Titipan Kasih Harian Metro-KPJ Tawakkal KL yang diadakan di hospital swasta berkenaan, kelmarin.

Program tanggungjawab sosial korporat yang menyantuni 20 kanak-kanak dari keluarga B40 dan anak yatim Rumah Kebajikan Kasih Harmoni Kampung Paya Jaras Dalam, Selangor itu dianjurkan secara percuma dalam suasana norma baharu.

Semua peserta pada program berkenaan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak KPJ Tawakkal KL termasuk ujian swab dijalankan sehari awal.

KANAK-KANAK dari keluarga B40 dan anak yatim Rumah Kebajikan Kasih Harmoni Kampung Paya Jaras Dalam menjalani ujian calitan Covid-19 secara drive-thru sebelum majlis berkhatan. FOTO Saifullizan Tamadi
KANAK-KANAK dari keluarga B40 dan anak yatim Rumah Kebajikan Kasih Harmoni Kampung Paya Jaras Dalam menjalani ujian calitan Covid-19 secara drive-thru sebelum majlis berkhatan. FOTO Saifullizan Tamadi

Pengarang Kumpulan Harian Metro Husain Jahit berkata, siri program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) itu adalah yang terakhir untuk tahun 2020 dan sudah dijalankan selama 13 tahun bagi membantu golongan memerlukan.

Beliau berkata, kerjasama antara Harian Metro dan hospital pakar swasta itu juga tepat pada masanya kerana ramai kini terkesan dengan pandemik Covid-19.

Menurutnya, ada yang kehilangan kerja, perniagaan merosot malah terdapat pekerja menghadapi pemotongan gaji akibat pandemik, jadi ini satu inisiatif terbaik membantu mereka.

PESERTA gembira untuk berkhatan. FOTO Saifullizan Tamadi
PESERTA gembira untuk berkhatan. FOTO Saifullizan Tamadi

"Kami berterima kasih kepada Hospital KPJ Tawakkal KL kerana menjalinkan kerjasama menjayakan program ini.

"Suasana dan perjalanan program juga berlangsung dengan mematuhi SOP yang ketat serta proses berkhatan juga dibahagikan kepada dua sesi pagi dan petang bagi penjarakan fizikal lebih baik.

"Ia bukan sahaja melancarkan segala perjalanan acara malah kanak-kanak selesa sepanjang program berlangsung," katanya.

Pengarah Eksekutif Hospital Pakar KPJ Tawakkal KL Datuk Mohamad Farid Salim berkata, selain membantu mereka yang memerlukan ia juga berkonsep Adiwira Masa Hadapan dalam proses membantu melahirkan warganegara berkualiti untuk pembangunan negara.

MOHAMAD Farid. FOTO Saifullizan Tamadi
MOHAMAD Farid. FOTO Saifullizan Tamadi

"Kami sememangnya mengadakan program sebegini setiap tahun ketika musim cuti sekolah termasuk di luar negara dan oleh kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih dikuatkuasakan maka kali ini hanya diadakan di Kuala Lumpur.

"Jalinan kerjasama bersama akhbar HM menjayakan program ini termasuk barisan kakitangan Hospital KPJ Tawakkal KL dapat memastikan semuanya berjalan lancar sangat dihargai," katanya.

Pada program berkenaan, kanak-kanak itu turut diraikan dengan kehadiran adiwira Ironman serta sumbangan berupa keperluan kembali ke sekolah yang disampaikan oleh Mohamad Farid dan Husain di wad kanak-kanak hospital itu.

MOHAMAD Farid (tiga dari kanan),  Noreen (dua dari kanan), Husain (dua dari kiri) bersama maskot adiwira Ironman menyampaikan cenderahati kepada peserta Program Berkhatan Titipan Kasih Harian Metro-KPJ Tawakkal KL. FOTO Saifullizan Tamadi
MOHAMAD Farid (tiga dari kanan), Noreen (dua dari kanan), Husain (dua dari kiri) bersama maskot adiwira Ironman menyampaikan cenderahati kepada peserta Program Berkhatan Titipan Kasih Harian Metro-KPJ Tawakkal KL. FOTO Saifullizan Tamadi

Hadir sama pada program berkenaan Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Tawakkal KL Noreen Abdul Rashid, Pengurus Komunikasi Korporat The New Straits Times Press (Malaysia) (NSTP) Kamarul Aznam Kamarozaman dan Editor Berita Kandungan Komersial Harian Metro Noor Azam Abd Aziz.

Program berkhatan itu juga dianggap istimewa kerana turut disertai pakar bedah dan Hepatobiliari KPJ Tawakkal KL Dr Affirul Chairil Ariffin yang secara sukarela menawarkan khidmat prosedur percuma kepada peserta program.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2020 @ 8:01 AM