Cikgu Fana (tengah) dan cikgu yang bertugas di PTTI.
Cikgu Fana (tengah) dan cikgu yang bertugas di PTTI.

Kuala Lumpur: Selepas lebih lima tahun beroperasi, pusat peningkatan akademik dan pakar dalam membantu pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), PTTI buat kali pertama menjadi penerima Anugerah BrandLaureate Bestbrands in Online Education Platform (Platform Pendidikan Dalam Talian).

Siti Farhana Abu Osman atau lebih mesra disapa Cikgu Fana, 33, berkata anugerah berkenaan menjadi bukti kelangsungan dalam terus mendidik anak bangsa mencapai keputusan cemerlang dalam SPM.

"Di sebalik ujian kita berdepan pandemik Covid-19, anugerah ini bagai satu rahmat terindah buat kami. Niat kami hanya mahu membantu pelajar berjaya dan memperoleh keputusan lebih terbaik.

"Kejayaan ini hasil dedikasi seluruh warga kerja PTTI secara langsung atau tidak. Ia termasuk guru yang bertungkus lumus menyalurkan ilmu berharga dan berguna kepada pelajar," kata Cikgu Fana.

Anugerah berkenaan disampaikan Presiden The BrandLaureate, Dr KK Johan kepada Cikgu Fana semalam.

Menurut Cikgu Fana, satu kebanggaan baginya apabila anugerah yang sering diterima tokoh pelbagai bidang dalam dan luar negara itu kini berada dalam genggaman.

"Saya percaya anugerah berprestij dalam dunia penjenamaan cetusan Asia Pacific Brands Foundation (APBF) ini menjadi idaman ramai.

"Saya dan suami suatu ketika dulu sendiri pernah membayangkan PTTI akan ada logo Brandlaureate. Akhirnya ia bukan angan angan kosong.

"Tak salah bermimpi, namun perlu disusuli dengan usaha dan niat yang betul. Pastinya setiap kejayaan atau anugerah yang diraih itu akan datang dengan tanggungjawab yang lebih besar."

PTTI bermula secara tidak rasmi sekitar tahun 2014. Hanya pada tahun 2016, pusat berkenaan semakin agresif dalam terus memberi manfaat kepada pelajar.

Sempena penerimaan anugerah berkenaan, PTTI dengan bangganya membuka peluang pendaftaran awal untuk calon pelajar SPM bagi sesi 2021 bagi bermula selangkah lebih awal sebelum berdepan cabaran peperiksaan sebenar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2020 @ 10:43 PM