MOHAMMAD Azlan menjadi penghantar makanan sejak Mei lalu. FOTO Hazreen Mohamad
MOHAMMAD Azlan menjadi penghantar makanan sejak Mei lalu. FOTO Hazreen Mohamad
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Semenyih: Sebelum penularan pandemik Covid-19, Mohammad Azlan Abdul Rahman, 27, menggunakan pendapatannya sebagai pemandu bas persiaran untuk menampung kos operasi Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Al-Fattah yang ditubuhkannya sejak Ogos 2018.

Bagaimanapun, impak pandemik ini menyebabkan Mohammad Azlan tidak dapat meneruskan pekerjaannya dan kehilangan pendapatan bulanan RM6,000.

Ia sekali gus memberi kesan kepada pusat jagaannya yang kini berhadapan masalah kekurangan dana untuk membeli keperluan harian kepada 18 penghuninya.

Mohammad Azlan berkata, dia bertukar kerjaya sebagai penghantar makanan sejak Mei lalu bagi memastikan pusat jagaan itu tidak terputus sumber kewangan walaupun jumlah diperoleh tidak banyak seperti sebelum ini.

"Pada hujung minggu, saya berniaga ikan segar di Serdang, Selangor mengikut tempahan pelanggan.

"Bekalan ikan segar ini saya peroleh daripada pembekal dari Teluk Intan, Perak," katanya.

Menurutnya lagi, pendapatan daripada dua pekerjaan itu masih tidak mencukupi kerana kos operasi pusat jagaan itu mencecah RM15,000 sebulan.

MOHAMMAD Azlan. FOTO Hazreen Mohamad
MOHAMMAD Azlan. FOTO Hazreen Mohamad

"Disebabkan Covid-19 juga, saya tebalkan muka meminta sumbangan orang ramai melalui media sosial walaupun tidak pernah buat sedemikian sebelum ini.

"Saya tiada pilihan dan apa yang dilakukan ini demi memastikan kebajikan penghuni di sini yang sudah dianggap seperti ibu dan bapa kandung terus terbela," katanya.

Mohammad Azlan berkata, sebelum ini, dia tidak pernah meminta bantuan luar kerana ingin menanggung sepenuhnya pusat jagaan ini selain dibantu ibu bapa dan saudara-mara.

Katanya, dia terbuka hati untuk menubuhkan Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Al-Fattah di Taman Tasik Semenyih di sini, kerana sering melihat gelandangan tidur di kaki lima ketika bekerja sebagai pemandu bas persiaran.

MOHAMMAD Azlan bersama penghuni yang dianggap seperti ibu bapa kandung. FOTO Hazreen Mohamad
MOHAMMAD Azlan bersama penghuni yang dianggap seperti ibu bapa kandung. FOTO Hazreen Mohamad

"Hati saya tersentuh melihat gelandangan meminta makanan daripada orang ramai.

"Penghuni pusat jagaan ini berusia 40 hingga 74 tahun dan mereka dipinggirkan keluarga.

"Ada yang pernah menjadi gelandangan, ditinggalkan keluarga di hospital dan pelbagai lagi kisah mereka yang menyedihkan," katanya yang juga anak tunggal.

Menurut Mohammad Azlan, pengalaman manis sepanjang membuka pusat jagaan itu ialah berjaya menyatukan semula penghuni wanita dengan anaknya yang sudah lama tidak bertemu.

MOHAMMAD Azlan menguruskan keperluan warga emas yang dijaganya. FOTO Hazreen Mohamad
MOHAMMAD Azlan menguruskan keperluan warga emas yang dijaganya. FOTO Hazreen Mohamad

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2020 @ 7:20 AM