PENERBANGAN sewa khas, Air Niugini Limited tiba di LTAK. FOTO ihsan FB Lee Kim Shin
PENERBANGAN sewa khas, Air Niugini Limited tiba di LTAK. FOTO ihsan FB Lee Kim Shin
Melvin Joni


Kuching: Seramai 106 rakyat Malaysia yang terkandas lebih dua bulan di Papua New Guinea (PNG) selamat tiba di tanah air semalam, hasil bantuan Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin.

Mereka terdiri daripada 91 rakyat Sarawak, lima dari Sabah dan 10 dari Semenanjung.

Semua tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) semalam dengan menaiki penerbangan sewa khas, Air Niugini Limited dari Lapangan Terbang Antarabangsa Port Moresby.

Kim Shin berkata, mereka adalah pekerja di 33 syarikat dalam pelbagai sektor antaranya pembalakan, perkhidmatan, peruncitan dan pejabat.

Katanya, mereka ingin kembali ke Malaysia kerana tamat kontrak pekerjaan dan terkandas di PNG sejak Oktober lalu kerana tiada penerbangan berikutan Covid-19.

"Sebelum ini ada penerbangan transit di Singapura, tetapi negara itu tidak membenarkan transit, maka sebuah agensi pelancongan menyewa penerbangan terus iaitu Air Niugini Limited dari Lapangan Terbang Antarabangsa Port Moresby ke LTAK," kata dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penerbangan sewa berkenaan ditunda beberapa kali dalam tempoh 13 hingga 24 November lalu kerana tidak ada persetujuan mengenai pengesahan Sijil Pengendali Pesawat Asing (FAOC) dari Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Katanya, ekoran kesukaran itu, seorang rakyat Sarawak di PNG meminta pertolongan beliau dengan menghubunginya melalui aplikasi Facebook Messenger.

Beliau berkata, beliau segera bertindak menghubungi Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah untuk mempercepat CAAM bagi pengesahan FAOC bagi membolehkan penerbangan sewa khas itu terus ke Kuching dari PNG.

Selain itu, beliau berkata turut bekerjasama dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) untuk urusan kemasukan kesemua penumpang itu ke Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2020 @ 7:05 PM