GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Melvin Joni


Kuching: Polis menjalankan siasatan terhadap seorang wanita tempatan di Sibu yang disyaki membantu empat wanita Indonesia yang positif Covid-19 melarikan diri ke Entikong, Kalimantan Barat.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata, buat masa ini, soal siasat tidak dapat dibuat ke atas suspek berusia 38 tahun itu kerana sedang menjalani proses kuarantin.

"Berdasarkan siasatan awal, suspek mendakwa tidak mengenali semua wanita Indonesia terbabit dan hanya membantu mereka balik ke Entikong saja," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Aidi berkata, semua penumpang termasuk pemandu bas ekspres yang dinaiki wanita Indonesia terbabit untuk balik ke Entikong menerusi jalan tikus di Tebedu dikenal pasti dan menjalani ujian calitan Covid-19.

"Empat wanita Indonesia terbabit disahkan sudah berada di Entikong semalam, selepas usaha menjejaki mereka dilakukan kerana positif Covid-19.

"Mereka dibawa oleh wanita tempatan terbabit menjalani ujian calitan Covid-19 di sebuah hospital swasta di Sibu pada 6 Disember lalu untuk mencari pekerjaan," katanya.

Beliau berkata, selepas itu, wanita berkenaan menghantar mereka balik ke Entikong dengan menaiki sebuah bas ekspres dari Sibu dan apabila tiba di Tebedu, mereka dipercayai balik menggunakan jalan tikus.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2020 @ 6:32 PM