LAPORAN Harian Metro
LAPORAN Harian Metro
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol : Empat beradik yang ditahan polis ketika sedang membungkus air ketum di ladang kelapa sawit di FELDA Lui Selatan, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bahau hari ini.

Muhamad Ridzuan Kamal Ariffin, 24 dari Rembau; Mohd Farid, 29; Mohd Feetri, 36 dan Solehudin, 31 ketiga - tiganya dari FELDA Lui Selatan mengaku bersalah atas perbuatan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khir Nizam Jemari.

Mengikut pertuduhan keempat-empat tertuduh didakwa memiliki cecair disyaki air ketum dengan jumlah dianggarkan sebanyak 310 liter di sebuah ladang kelapa sawit di FELDA Lui Selatan, pada 11 pagi, 15 Disember lalu.

Bagi perbuatan itu kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 30(5) akta yang sama dan dibaca mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau hukuman penjara tidak lebih dari empat tahun atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah menetapkan 19 Januari depan sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia.

Terdahulu mahkamah membenarkan semua tertuduh masing-masing diikat jamin RM4,500 seorang dengan dua penjamin.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2020 @ 2:21 PM