GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Tiga lagi kluster baharu dikesan hari ini, menjadikan sebanyak 193 kluster masih aktif setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dua daripada kluster itu dikesan di Lembah Klang manakala satu di Sabah.

Beliau berkata, Kluster Jalan Rusa yang dikesan di Cheras, Kuala Lumpur, hasil saringan komuniti di kawasan kediaman bermula awal Disember ini.

"Saringan ini dijalankan selepas satu kes positif dikesan dalam kalangan penduduk pada penghujung November 2020.

"Sehingga 17 Disember 2020, sejumlah 1,267 individu sudah disaring, manakala sebanyak 129 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) juga mengesan satu kluster membabitkan tapak pembinaan iaitu Kluster Tapak Bina Pasifik di sekitar Lembah Klang di Kuala Lumpur.

Dr Noor Hisham berkata, kes-kes bagi kluster itu dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 12 Disember lalu melalui saringan tempat kerja di sebuah tapak binaan.

"Sehingga hari ini, sejumlah 159 individu sudah disaring, dengan 17 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

"Kluster ketiga ialah Maringan di Telupid dan Ranau, Sabah. Kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-70,580 dilaporkan positif Covid-19 pada 5 Disember lalu melalui saringan individu bergejala," katanya.

Sehingga hari ini, 93 individu sudah disaring, manakala sebanyak 11 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, 41 kluster aktif termasuk tiga kluster baharu melaporkan pertambahan kes hari ini termasuk Kluster Penjara Jalan Harapan (98 kes), Kluster Jalan Rusa (57 kes), dan Kluster Bintang (50 kes).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2020 @ 7:26 PM