Alesia Sion (lima dari kiri) menyerahkan replika cek RM1 juta sumbangan SESB di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu. FOTO ihsan SESB
Alesia Sion (lima dari kiri) menyerahkan replika cek RM1 juta sumbangan SESB di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu. FOTO ihsan SESB
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menyumbang RM1 juta kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) bagi membantu memerangi pandemik Covid-19 di Sabah.

Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Datuk Ir Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, sumbangan itu sejajar kerjasama yang dijalin syarikat induknya, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan KKM melalui inisiatif Tindakan Bersama Korporat Malaysia Menentang Covid-19.

Katanya, sumbangan itu bertujuan membantu KKM mengurangkan beban pembelian peralatan perubatan dan kesihatan yang diperlukan.

"Usaha memerangi Covid-19 adalah tanggungjawab kita bersama dan ini adalah masa yang kritikal untuk kita sama-sama tampil membantu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, SESB turut menyerahkan beberapa peralatan perubatan dan kesihatan yang diperolehi daripada sumbangan itu kepada Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini.

Peralatan terbabit diserahkan oleh Pengurus Besar (Perkhidmatan Korporat) SESB, Alesia Sion kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Christina Rundi dan Pengarah HQE, Dr William Gotulis.

Abdul Nasser berkata, SESB sentiasa bersiap sedia untuk memberikan bantuan, kerjasama dan sokongan kepada pihak berkuasa di negeri ini dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memacu pembangunan negeri.

Selain sumbangan kepada KKM, SESB turut memberikan sumbangan bakul makanan kepada kumpulan masyarakat yang terkesan dengan penularan Covid-19 khasnya golongan asnaf, ibu tunggal dan fakir miskin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2020 @ 11:09 AM