ZAITON (tengah) selepas Majlis Penyerahan PPE Kepada Hospital Sultan Ismail dan Penyerahan Sijil Pẹngarhaan Kod Peserta Jahitan PPE di Pusat Jaya Diri, YPKDT Johor Bahru, Kampung Bahru. FOTO Omar Ahmad
ZAITON (tengah) selepas Majlis Penyerahan PPE Kepada Hospital Sultan Ismail dan Penyerahan Sijil Pẹngarhaan Kod Peserta Jahitan PPE di Pusat Jaya Diri, YPKDT Johor Bahru, Kampung Bahru. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad


Johor Bahru: Lebih 100 gelandangan di bandar raya ini akan ditempatkan di Anjung Singgah selepas menjalani proses tapisan.

EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Zaiton Ismail berkata, pusat perlindungan sementara itu menerima hanya mereka yang mencari kerja dan tempat tinggal.

"Selepas mereka mendapat kerja dan stabil, mereka akan keluar. Anjung Singgah bukan tempat tinggal kekal bagi gelandangan.

"Penagih dadah tidak diterima kerana Anjung Singgah tidak mempunyai kepakaran untuk merawat mereka. Begitu juga gelandangan yang mempunyai masalah mental," katanya.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Pakaian Perlindungan (PPE) Kepada Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Penyerahan Sijil Pẹnghargaan Kod Peserta Jahitan PPE di Pusat Jaya Diri, Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPKDT) Johor Bahru, Kampung Bahru di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zaiton berkata, sebuah pusat gelandangan baharu akan diwujudkan di daerah ini tidak lama lagi.

Namun katanya, lokasi belum diputuskan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

Sementara itu, Zaiton berkata pihaknya menyokong inisiatif YPKDT atas usaha dan sumbangan yang dilakukan menerusi program Kursus Inspirasi Usahawan Berfokus (KIUB).

"Usaha itu memberi semangat dan sokongan kepada petugas barisan hadapan yang ketika ini bertungkus-lumus memastikan rakyat tidak terdedah dan berisiko dengan pandemik Covid-19," katanya.

YPKDT sebelum ini juga pernah memberikan sumbangan 1,300 PPE kepada Hospital Sultanah Aminah (HSA).

#kw gelandangan, Anjung Singgah, Johor Bahru

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 7:24 PM