DR MOHD Khairuddin (dua dari kiri) melawat Tapak Pembinaan pejabat IBS Tasblock di Pusat Pemprosesan dan Pengeluaran Produk Kenaf di Kampung Saujana, di Setiu. -FOTO NURUL FATIHAH SULAINI
DR MOHD Khairuddin (dua dari kiri) melawat Tapak Pembinaan pejabat IBS Tasblock di Pusat Pemprosesan dan Pengeluaran Produk Kenaf di Kampung Saujana, di Setiu. -FOTO NURUL FATIHAH SULAINI

Nurul Fatihah

Permaisuri: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi mensasarkan 20 peratus bahan pembinaan pada masa hadapan di negara ini akan menggunakan teknologi berasaskan kenaf.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) Tasblock berasaskan kenaf masih baru namun mampu menghasilkan produk berkualiti serta menjimatkan kos.

Katanya, kerjasama antara Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) dan Tasblock (M) mencipta sejarah apabila berjaya membina sebuah bangunan pejabat dengan keluasan 700 kaki persegi menggunakan 600 kilogram gentian kenaf.

"Kos pembinaan pejabat dilengkapi dengan ruangan pejabat, bilik mesyuarat, stor dan tandas itu dianggarkan bernilai RM81,000.

"LKTN sudah mengadakan perbincangan dengan pelbagai jabatan berkaitan pembinaan seperti Kementerian Kerja Raya serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menggunakan teknologi kenaf dalam bahan pembinaan," katanya ketika melakukan lawatan ke Tapak Pembinaan pejabat IBS Tasblock di Pusat Pemprosesan dan Pengeluaran Produk Kenaf di Kampung Saujana, Setiu, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) Dr Azman Ibrahim.

Khairuddin berkata, penggunaan kenaf dalam sistem Tasblock ini mampu merancakkan lagi pembangunan industri pembinaan berasaskan kenaf.

"Teknologi baharu ini menggunakan teknologi hijau, mesra alam mampu menjimatkan kos pembinaan, tenaga kerja, logistik dan masa.

"Tempoh masa untuk menyiapkan pejabat dan ruang pameran hanya mengambil masa selama 30 hari berbanding tiga hingga empat bulan dengan menggunakan kaedah secara konvensional," katanya.

Beliau berkata, inovasi dihasilkan melalui kerjasama LKTN dan pihak swasta selaras dengan hasrat Kementerian untuk meningkatkan kebolehpasaran produk serta menerima pasaran baharu bagi industri hiliran berasaskan kenaf.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2020 @ 6:15 PM