MOHD Khairul Adib. FOTO Bernama
MOHD Khairul Adib. FOTO Bernama
Samadi Ahmad


Putrajaya: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi jaminan hak keselamatan dan maklumat penjawat awam akan dilindungi sekiranya melaporkan kesalahan rasuah di kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata, semua maklumat dan butiran pengadu akan dirahsiakan mengikut peraturan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan Akta Perlindungan Saksi 2009.

Menurutnya, kerajaan sememangnya memandang serius mengenai sebarang isu salah laku membabitkan penjawat awam.

Katanya, JPA menggalakkan penjawat awam untuk tampil memberi maklumat sebarang salah laku dalam usaha membendung ketirisan yang berlaku di organisasi masing-masing.

"Kesalahan ini terutamanya membabitkan penyalahgunaan kuasa di pelbagai peringkat tanpa mengira pangkat dan kedudukan," katanya melalui kenyataan media hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu dilaporkan pihak media mengenai tekanan dihadapi penjawat awam ketika berhadapan kegiatan rasuah di organisasi masing-masing.

Mohd Khairul berkata, pihaknya menegaskan agar semua ketua jabatan memandang serius isu itu dan sentiasa memastikan sebarang ketirisan dan penyalahgunaan kuasa tidak berlaku di semua peringkat organisasi.

Beliau berkata, pemberi maklumat sebenarnya mempunyai pelbagai saluran untuk menyampaikan maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Unit Integriti di setiap organisasi masing-masing.

Katanya, semua penjawat awam tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (1993)(P.U.A 395/1993).

"Sebarang pelanggaran kepada mana-mana peraturan termasuk tidak melaporkan salah laku pegawai boleh dikenakan tindakan tatatertib.

"JPA mengucapkan syabas dan tahniah kepada penjawat awam yang berani tampil ke hadapan bagi membendung salah laku dan inisiatif ini menunjukkan mereka mempunyai integriti sangat tinggi serta boleh menjadi contoh kepada penjawat awam lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2020 @ 12:00 PM