GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nor Haidya Syafira Amir


Kuala Lumpur: Sebanyak 38 kawasan di wilayah Sabak Bernam akan mengalami gangguan bekalan air berjadual, mulai 10 pagi, Rabu ini.

Bekalan air di 38 kawasan itu terjejas berikutan pelaksanaan kerja penggantian enam unit injap di Jalan Besar Belia, Sungai Panjang dan pemasangan satu injap baharu di Parit 13, Sungai Panjang.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Elina Baseri berkata, gangguan bekalan air berjadual ini akan pulih sepenuhnya pada 2 pagi, Khamis ini.

Katanya, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air adalah berbeza mengikut kawasan bergantung terhadap jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan.

"Pelaksanaan ini akan membolehkan sistem pengagihan bekalan air sentiasa berada dalam keadaan optimum.

"Penambahbaikan infrastruktur injap ini juga adalah sebahagian usaha Air Selangor untuk meningkatkan pengalaman perkhidmatan terbaik demi keselesaan para pengguna di masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, katanya, Air Selangor menasihatkan pengguna yang terjejas untuk menyimpan bekalan secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual berkenaan.

"Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com. Pengguna juga boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter, atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2020 @ 11:04 AM