GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kejam dan tidak berperikemanusiaan apabila seorang wanita tergamak membuang bayi yang baru dilahirkannya di dalam tong sampah sehingga meninggal dunia dalam kejadian di lobi pusat beli-belah di Cheras, di sini, Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pihaknya menerima maklumat itu selepas wanita terbabit dibawa majikannya ke Balai Polis Cheras pada 7.50 malam selepas didakwa melahirkan bayi di dalam tandas stor dan membuangnya ke dalam tong sampah.

Menurutnya, sebaik menerima maklumat itu, polis kemudian ke lokasi terbabit dan menemui bayi berkenaan dibungkus dengan plastik dalam tong sampah.

"Siasatan awal, wanita berusia 21 tahun itu mengaku melahirkan bayi berkenaan di dalam tandas stor di tingkat 13 pusat beli-belah itu pada 4.30 petang.

"Ketika dilahirkan, wanita berkenaan mendengar suara tangisan bayi terbabit sebelum memasukkan ke dalam beg plastik dan terus membuangnya ke dalam tong sampah," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, suspek kemudian memaklumkan kepada majikannya kejadian itu sebelum mereka tampil ke balai polis.

"Suspek memberitahu ada mengenali seorang lelaki melalui aplikasi Wechat sejak Disember tahun lalu hingga Mei tahun ini dan mengakui mereka pernah melakukan hubungan seks beberapa kali.

"Mereka kemudian berpisah sebelum menjalin hubungan pula dengan seorang lelaki lain September lalu dan berpisah sekali lagi Oktober lalu.

"Suspek juga mengaku pernah melakukan beberapa kali hubungan seks dengan lelaki terbabit di hotel bajet di Kuala Lumpur," katanya.

Katanya, suspek menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz Universiti Kebangsaan Malaysia, di sini, dan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2020 @ 4:58 PM