ANGGOTA APM menangkap ular sawa menelan kambing jantan besar di Kampung Ladang, Kuala Sungai Baru dekat Alor Gajah. FOTO HASSAN OMAR
ANGGOTA APM menangkap ular sawa menelan kambing jantan besar di Kampung Ladang, Kuala Sungai Baru dekat Alor Gajah. FOTO HASSAN OMAR
Hassan Omar

Alor Gajah: Seekor ular sawa sepanjang enam meter dan seberat kira-kira 70 kilogram (kg) ditemui kekenyangan selepas membaham seekor kambing jantan seberat kira-kira 65 kg.

Dalam kejadian jam 10 pagi tadi, ular berkenaan menelan kambing yang dijadikan sebagai baka induk di dalam kandang milik penternak, Ali Saad, 60, di Kampung Ladang, Kuala Sungai Baru di sini.

Anak saudara Ali, Azmi Zakaria, 39, berkata, dia terkejut apabila menemui ular sawa itu kekenyangan berhampiran pagar kandang kambing milik bapa saudaranya itu.

"Sejak awal tahun ini sudah lima ekor kambing muda bersaiz sederhana hilang tetapi kami tidak pernah nampak ular yang dipercayai menelan haiwan peliharaan bapa saudara saya itu.

"Bagaimanapun kali ini ular itu tidak dapat melarikan diri akibat kekenyangan selepas menelan kambing jantan besar yang dijadikan baka induk," katanya.

Susulan itu dia segera menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Awam (APM) Unit Masjid Tanah untuk membantu menangkap reptilia berkenaan.

Ketua APM Unit Masjid Tanah Leftenan (APM) Shahrul Riza Saiful Bahri berkata, empat anggota APM yang diketuai Lans Koperal (APM) Rozianti Yaakob tiba di lokasi kejadian pada jam 10.56 pagi.

"Kami terpaksa berhempas pulas menangkap ular itu ditambah saiznya yang besar serta berat kambing dalam perutnya," katanya.

Ular berkenaan akan diserahkan kepada Taman Rama-Rama dan Reptlia Melaka di Ayer Keroh selepas dibenarkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), katanya.

-ends-

Pix 1: Anggota APM menangkap ular sawa menelan kambing jantan besar di Kampung Ladang, Kuala Sungai Baru dekat Alor Gajah.

Pix 2-6: Anggota APM Unit Masjid Tanah mempamerkan ular sawa sepanjang enam meter dan seberat kira-kira 70 kilogram yang membaham kambing jantan besar seberat kira-kira 65 kilogram di APM Unit Masjid Tanah, dekat Alor Gajah.

- Foto HASSAN OMAR

From: HJ HASAN

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2020 @ 7:17 PM