Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah belum diyakinkan mana-mana pihak sudah ada majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri, kata Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini.

"Sehingga Tuanku diperkenankan yakin sudah ada mana-mana pihak yang mempunyai majoriti mudah barulah istiadat angkat sumpah boleh dilaksanakan.

"Sultan Perak belum dapat diyakinkan mana-mana pihak, kita akan tunggu sampai mereka sudah bersedia dengan meyakinkan Duli Yang Maha Mulia dan baginda berpuas hati sudah ada majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan," katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Istana Kinta di sini hari ini.

Beliau berkata, hari ini, Pakatan Harapan (PH) diwakili oleh tiga pengerusi negeri menghadap dan menyembah maklum Sultan Perak berkenaan status perundingan yang sedang berlaku daripada pihak mereka.

"Selepas (ketiga-tiga pemimpin PH) mereka selesai menghadap, Sultan Perak menitahkan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad mengadap yang turut menyembahkan status perundingan yang sedang berlaku di antara pelbagai pihak," katanya.

Dalam pada itu, katanya, Saarani memohon untuk mengajak Datuk Seri Zambry Abdul Kadir semasa sembah perkenan kali ini.

Terdahulu, tiga pemimpin PH tiba memasuki perkarangan Istana Kinta untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dilihat tiba menaiki kenderaan berasingan pada jam 2.55 petang.

Kemudiannya, disusuli Pengerusi Parti Amanah Negara Perak, Datuk Asmuni Awi tiba pada jam 3.05 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2020 @ 5:23 PM