Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi (MT) Umno hari ini, memutuskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perak perlu dipertahankan.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perkara itu diputuskan hasil perbincangan mengenai senario politik di negeri berkenaan.

"Mesyuarat memutuskan kerajaan PN Perak yang membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno, Pas dan PPBM perlu terus dipertahankan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, mesyuarat sama turut menetapkan tarikh Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri dijadualkan pada 1 hingga 3 Januari 2021.

Beliau berkata, mesyuarat itu akan diadakan serentak di 191 bahagian.

PENGERUSI Perhubungan Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad ditemui selepas Mesyuarat Khas MT Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). FOTO Aswadi Alias
PENGERUSI Perhubungan Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad ditemui selepas Mesyuarat Khas MT Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). FOTO Aswadi Alias

"Bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) boleh diadakan secara maya.

"Kehadiran adalah satu perempat daripada jumlah wakil yang berhak hadir," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri dijadualkan pada 30 Januari 2021 manakala Perhimpunan Agung Umno pada 31 Januari 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2020 @ 10:43 PM