Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Pusat beli-belah, Angsana Johor Bahru Mall, di sini, diarah ditutup tujuh hari bermula jam 8 malam ini sehingga 14 Disember depan berikutan penularan wabak Covid-19 di premis berkenaan.

Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu berkata, arahan penutupan pusat beli-belah itu diputuskan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) selepas menilai risiko penularan wabak dan situasi semasa.

Sehubungan itu, Dr Aman berkata, semua pekerja dan kakitangan bertugas di pusat beli-belah itu diarahkan menjalani saringan Covid-19 secara sukarela bagi mengekang penularan wabak ke dalam komuniti.

"Arahan penutupan sementara pusat beli-belah itu bermula jam 8 malam ini sehingga 14 Disember depan bagi membolehkan kerja sanitasi dan nyah cemar dilaksanakan secara menyeluruh selain membolehkan pekerja premis menjalani saringan.

"Notis arahan penutupan sementara mengikut Subseksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 sudah ditampal di pintu utama pusat beli-belah berkenaan sebentar tadi, " katanya ketika dihubungi.

Hari ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilaporkan menasihatkan sebuah pusat beli-belah di Tampoi, ditutup sementara, susulan beberapa individu yang bekerja di premis itu disahkan positif Covid-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dilaporkan berkata, penutupan premis dibuat bagi membolehkan proses nyah cemar dan sanitasi dilakukan dengan lebih menyeluruh.

Sejak semalam, akaun Facebook (FB) rasmi pusat beli-belah berkenaan dibanjiri komen netizen yang tidak berpuas hati berikutan luahan beberapa individu bekerja di situ yang disahkan positif Covid-19 yang kesal pengurusan pusat berkenaan tidak mahu menutup sementara kompleks berkenaan.

ANGSANA Johor Bahru Mall diarah ditutup tujuh hari berikutan penularan Covid-19 di premis berkenaan. FOTO Zain Ahmed
ANGSANA Johor Bahru Mall diarah ditutup tujuh hari berikutan penularan Covid-19 di premis berkenaan. FOTO Zain Ahmed

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, Kluster Jalan Tampoi dikesan di Johor Bahru dan sudah menjangkiti 17 individu.

Pengurusan pusat beli belah berkenaan ketika dihubungi berkata, akan mengeluarkan kenyataan media rasminya nanti.

Semakan di akaun FB pusat beli-belah itu menyatakan mereka sudah melakukan proses sanitasi dan nyah cemar di premis berkenaan pada 2, 4 dan 7 Disember lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2020 @ 8:39 PM