Pelari Menara Negara Soh Wai Ching. FOTO BERNAMA
Pelari Menara Negara Soh Wai Ching. FOTO BERNAMA
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) meneruskan tajaannya untuk pelari menara nombor dua dunia dan nombor satu Asia, Soh Wai Ching untuk aktivitinya sepanjang 2021.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, sebagai syarikat yang menerapkan budaya mendorong ke arah prestasi tinggi dan kejayaan berdasarkan merit, TNB berbangga dengan pencapaian Wai Ching.

"Untuk melakukan sesuatu seumpamanya adalah satu pencapaian mengagumkan yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia, serta mengharumkan nama Malaysia sekali lagi di persada antrabangsa.

"Hubungan TNB dengan Wai Ching bermula pada tahun 2019 dan sejak itu, beliau dengan bangganya mengharumkan nama TNB setiap kali bertanding di serata dunia.

"TNB sentiasa berbangga untuk bekerjasama dengan individu dan organisasi hebat dalam sukan yang mendukung semangat kecemerlangan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pelari menara berusia 26 tahun itu memecahkan rekod Guinness World Records untuk Pendakian Tangga Menegak Terhebat dalam Satu Jam (Lelaki) (Greatest Vertical Height Stair Climbing in One Hour - Male), menerusi percubaannya di Hotel Four Seasons di Kuala Lumpur pada 18 November 2020 dan TNB adalah penaja utamanya dalam percubaan itu.

Wai Ching memecahkan rekod terdahulu setinggi 1.227 kilometer (km) yang dipegang oleh David Robles dari Sepanyol dengan catatan baharu1.295 km.

Untuk rekod, antara pencapaian terbaik Wai Ching termasuk memenangi KL Tower International Towerthon Challenge 2019, Seoul Lotte World Tower Sky Run 2019 (pemenang), Empire State Building Run Up 2019 (tempat kedua), Taipei 101 Run Up 2019 (tempat keempat) dan satu-satunya wakil Asia yang bertanding dalam kategori Elit di La Vertical de la Tour Eiffel Tower 2019 dan menduduki tempat keempat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2020 @ 4:21 PM