Foto hiasan
Foto hiasan
BERNAMA

Kuantan: Tindakan seorang ejen insurans menyertai pelaburan mata wang menerusi media sosial membawa padah, apabila mendakwa kerugian RM21,257 selepas syarikat pelaburan itu tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia 25 tahun mendakwa mula menyertai pelaburan itu pada pertengahan bulan lalu, selepas melihat iklan di Facebook.

"Mangsa mendakwa berurusan dengan seorang suspek lelaki bagi urusan pendaftaran, sebelum membuat pelaburan sebanyak RM1,200 pada 30 November lalu dan terus mendapat keuntungan sebanyak RM100 pada hari sama.

"Ia menyebabkan mangsa bersetuju untuk menambah jumlah pelaburan sebanyak RM5,200 pada hari yang sama. Bagaimanapun, mangsa tidak menerima pulangan yang diharapkan menyebabkan dia menghubungi suspek.

"Suspek didakwa memberitahu mangsa akaun pelaburannya sudah dibekukan kerana masalah pentadbiran dan dia perlu menjelaskan bayaran pentadbiran bagi meneruskan pelaburan itu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa mendakwa membuat empat transaksi pemindahan wang secara dalam talian seperti diarahkan suspek, sebelum berasa curiga kerana jumlahnya semakin banyak menyebabkan dia cuba menghubungi suspek bagi penjelasan.

Bagaimanapun, mangsa mendakwa gagal menghubungi suspek dan mengesyaki lelaki itu menyekat nombor telefonnya menyebabkan dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam.

Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2020 @ 2:44 PM