BUNG Moktar (kiri) ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Sabah. FOTO Malai Rosmah Tuah
BUNG Moktar (kiri) ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Sabah. FOTO Malai Rosmah Tuah
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: UMNO Sabah hari ini menyatakan pendirian untuk tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, bulan depan.

Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, perkara itu diputuskan sebulat suara kepemimpinan UMNO negeri dengan mengambil kira situasi politik semasa.

Beliau berkata, pihaknya turut mengambil kira kedudukan kerusi itu yang tidak ditandingi UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN), September lalu walaupun sebelum ini ia adalah kerusi UMNO.

"Perkara ini kita putuskan dalam mesyuarat UMNO negeri hari ini dan ia adalah keputusan kita sendiri," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat UMNO Sabah, di sini, hari ini.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, UMNO Sabah turut menyokong jika darurat disytiharkan di Bugaya seperti dilakukan di Parlimen Batu Sapi bagi mengelak mengadakan PRK berikutan situasi Covid-19 yang masih membimbangkan.

PRK Bugaya diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datin Manis Muka Dara, baru-baru ini.

Sementara itu, Bung Moktar berkata UMNO Sabah menerima semula lima bekas pemimpin parti itu yang meninggalkan UMNO selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

Mereka ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak; ADUN Sugut, Datuk James Ratib; bekas ADUN Pitas, Datuk Bolkiah Ismail; bekas ADUN Pantai Manis, Datuk Abdul Rahim Ismail dan bekas ADUN Kemabong, Jamawi Jaafar.

Salleh yang juga bekas Bendahari UMNO bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) pada PRN lalu dilaporkan memohon menyertai semula UMNO selepas membatalkan permohonan menyertai PKR sebelum ini.

James yang menyertai Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) selepas PRU lalu sebelum keluar pada Jun lalu turut bertanding atas tiket BN pada PRN September lalu.

Sementara itu, Bolkiah dan Jamawi sebelum ini menyertai Parti Warisan Sabah (WARISAN) sebelum keluar pada Julai lalu untuk menyokong cubaan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman mengambil alih kerajaan negeri.

Jamawi turut bertanding atas tiket BN pada PRN lalu tetapi tewas di tangan calon WARISAN di kerusi DUN Melalap, Tenom.

Bung Moktar turut mengumumkan pelantikan Salleh sebagai Pengarah Pilihan Raya BN Sabah bagi PRU akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2020 @ 4:53 PM