Syaherah Mustafa


Pasir Mas: "Saya menyesal sebab pandang remeh soal prosedur operasi standard (SOP), saya ingatkan kedai makan kawasan kampung ini, polis tak datang serbu," kata seorang remaja berusia 17 tahun yang diberi amaran oleh pihak berkuasa kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di kedai makan di Kampung Mekasar di sini, malam tadi.

Dia bersama seorang lagi rakan berusia 16 tahun, diberi amaran oleh pihak polis dan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam operasi bersepadu Covid-19 di sekitar daerah ini selepas didapati tidak menulis nama, memeriksa suhu serta tiada penjarakan fizikal ketika di kedai makan.

"Saya tahu akan SOP yang ditetapkan malah sebelum keluar, ibu bapa selalu berpesan supaya ikut setiap SOP ditetapkan.

"Bila kena serbu saya kelu, rasa macam tak mengalir darah di badan sebab terlampau takut. Kami berdua janji, selepas ini lebih peka dan akan mematuhi setiap arahan yang ditetapkan kerajaan," katanya yang tinggal di Kampung Kubang Pak Amin, di sini.

Turut serta dalam operasi itu adalah Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi.

Selain remaja terbabit, pasangan suami isteri berusia 54 dan 56 tahun turut dinasihatkan untuk tidak ke restoran dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kerana dipercayai menghidap penyakit yang memudahkan risiko jangkitan kepada mereka.

Selain itu, dua lelaki berusia 18 dan 24 tahun dikompaun RM1,000 kerana tidak menulis nama dan memeriksa suhu ketika makan di sebuah restoran di Kampung Atas Pinggir, di sini, malam tadi.

Mereka mendakwa terlupa untuk berbuat demikian, namun alasan itu tidak diterima sebelum pihak berkuasa mengeluarkan kompaun.

Sementara, di sebuah kedai makan lain seorang pengawal keselamatan berusia 40 tahun, turut kompaun akibat tidak memakai pelitup muka, selain tidak mendaftar di buku yang disediakan peniaga atas alasan ke kedai itu sebentar sahaja.

Dalam pada itu, Mohamad Roy ketika ditemui berkata, operasi dijalankan untuk memastikan penduduk mengikuti SOP yang ditetapkan kerajaan.

SEORANG remaja berusia 17 tahun (kanan) bersama rakannya berusia 16 tahun, di beri amaran oleh pihak polis dan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) selepas membuat kesalahan tidak menulis nama, memeriksa suhu serta tiada penjarakan sosial ketika di kedai makan di Kampung Mekasar Operasi Bersepadu COVID-19 di sekitar Pasir Mas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SEORANG remaja berusia 17 tahun (kanan) bersama rakannya berusia 16 tahun, di beri amaran oleh pihak polis dan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) selepas membuat kesalahan tidak menulis nama, memeriksa suhu serta tiada penjarakan sosial ketika di kedai makan di Kampung Mekasar Operasi Bersepadu COVID-19 di sekitar Pasir Mas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Setakat ini, 90 peratus masyarakat di jajahan ini mengikut SOP ditetapkan, manakala selebihnya bukan tidak tahu tetapi sengaja tidak mengendahkan selain menganggap ia adalah perkara yang remeh temeh.

"Selain itu, sebanyak 197 notis makluman yang dikeluarkan Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM) kepada peniaga di jajahan terbabit berkaitan SOP terbaru sepanjang PKPB.

"Sejak operasi dijalankan bermula 23 November lalu, sebanyak 25 kompaun dikeluarkan KKM membabitkan kesalahan melanggar SOP Covid-19 selain merokok di tempat awam, manakala pihak polis pula mengenakan 27 kompaun atas pelbagai kesalahan membabitkan SOP di daerah terbabit," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 2:31 PM