Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Dewan Rakyat dimaklumkan 5,422 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) disediakan di seluruh negara yang boleh menampung sehingga 1.55 juta mangsa banjir.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Yusoff berkata, kerajaan juga menitikberatkan isu keselamatan di PPS terutama dalam pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak penularan Covid-19.

Katanya, langkah ambil termasuk meluluskan bantuan awal dengan RM50,000 diperuntukkan kepada setiap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri; RM20,000 kepada setiap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan RM280,000 kepada Angkatan Pertahanan Awam.

"Kedua, sebanyak 15,000 khemah kubikel dihantar untuk kegunaan mangsa bencana banjir di PPS. Sebanyak 26,000 unit lagi akan dihantar kemudian secara berperingkat-peringkat.

"Ketiga, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan juga menghantar sebanyak 7,170 unit kit makanan ke seluruh negara. Selebihnya akan dihantar secara berperingkat-peringkat.

"Manakala keempat, NADMA dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan pertubuhan bukan kerajaan menganjurkan program pengurusan risiko bencana berdasarkan komuniti (CBDRM) yang membabitkan 14,264 peserta melalui saluran bersemuka dan secara dalam talian," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri dalam persidangan itu hari ini.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Beliau menjawab soalan Che Alias Hamid (PAS- Kemaman) mengenai tahap kesiapsiagaan NADMA dalam menghadapi bencana banjir pada musim tengkujuh kali ini serta pematuhan SOP Covid-19 agar wabak itu tidak menular di PPS.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan tidak bercadang membahaskan laporan tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan sekiranya perlu, ia hendaklah dikemukakan melalui usul mengikut Peraturan Mesyuarat 27(3), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

"Dalam hal ini, kerajaan perlu mengambil kira baki hari persidangan yang masih ada iaitu pada 16 dan 17 Disember 2020 serta Rang Undang-Undang yang akan menyusuli dan berkaitan dengan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021," katanya menjawab soalan Fahmi Fadzil (PKR- Lembah Pantai) berkaitan perkara itu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 11:46 AM