LOKASI pencarian kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang dipercayai lemas di Sungai Merbok, Kampung Bikan Atas. FOTO IHSAN BOMBA
LOKASI pencarian kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang dipercayai lemas di Sungai Merbok, Kampung Bikan Atas. FOTO IHSAN BOMBA
Zuliaty Zulkiffli

Kulim: Kanak-kanak perempuan orang kurang upaya (OKU) berusia lapan tahun dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Merbok, Kampung Bikan Atas di sini, hari ini.

Mangsa, Irdina Aleesya Zamri dipercayai terjatuh pada 6.15 petang.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 6.30 petang.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi-Tech diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Saad Hassan tiba di lokasi pada 7.10 malam.

"Di lokasi, anggota kami menemui tuala dan selipar disyaki milik mangsa dan usaha pencarian sedang dilakukan," katanya dalam satu kenyataan.

Mohamadul Ehsan berkata, operasi mencari kanak-kanak itu sedang dilakukan di kawasan tebing sungai berkenaan.

Menurutnya, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Sungai Petani sudah dipanggil untuk memberi bantuan mencari mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 8:04 PM