ANTARA durian yang dirampas. FOTO Ihsan APMM Selangor
ANTARA durian yang dirampas. FOTO Ihsan APMM Selangor
Ruwaida Md Zain


Pelabuhan Klang : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor berjaya mematahkan cubaan dua warga tempatan untuk menyeludup keluar tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) bersama 40 kotak durian, Sabtu lalu.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, bot yang dinaiki suspek ditahan di kedudukan 4.1 batu nautika di barat daya Tanjung Gabang, jam 7.30 malam.

"Bot itu dipintas dan ditahan berikutan maklumat risikan dan pengesanan Sistem Pengawasan Laut Maritim (SWASLA) yang mengesan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran serta mencurigakan yang sedang menuju ke perairan antarabangsa.

"Siasatan ke atas bot terbabit mendapati, selain dua warga tempatan, terdapat tiga PATI serta 40 kotak polisterina berisi durian dipercayai Musang King.

"Siasatan juga mendapati dua warga tempatan itu adalah nelayan, manakala ketiga-tiga PATI warga Indonesia," katanya dalam satu kenyataan.

Mohammad Rosli berkata, ketiga-tiga PATI bersama dua warga tempatan berusia antara 19 hingga 56 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

"Mereka semua mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki menyeludup keluar tiga PATI dan Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana menyeludup durian tanpa permit import.

"APMM akan sentiasa membuat pemantauan dan rondaan dengan lebih kerap bagi membanteras kegiatan PATI di perairan Selangor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 8:57 AM