GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Empat kluster baharu dan tujuh kluster sedia ada menjadi penyumbang utama peningkatan kes baharu positif Covid-19 di Sabah, semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, sebanyak 258 kes atau 54.2 peratus daripada 476 kes baharu semalam adalah daripada 11 kluster terbabit.

Katanya, daripada empat kluster baharu itu, Kluster Pusat Tahanan Sementara (PTS) Sibuga di Sandakan mencatat jumlah tertinggi dengan 99 kes, diikuti Kluster Jesselton di Kota Kinabalu (53 kes); Kluster Dermaga, Sandakan (17 kes) dan Kluster Tempasuk, Kota Belud (tujuh kes).

"Bagi kluster sedia ada pula, Kluster Sutera di Kota Kinabalu mencatat kes tertinggi hari ini (semalam) iaitu sebanyak 53 kes, diikuti Kluster Ria 30, Tuaran sebanyak 12 kes dan Kluster Sabaru, Lahad Datu sebanyak 10 kes.

"Selebihnya ialah Kluster Tinusa, Sandakan sebanyak tujuh kes; Kluster Dialisis, Lahad Datu sebanyak empat kes; Kluster Rumah Merah, Kota Kinabalu sebanyak dua kes dan Kluster Jalan Tuaran juga di Kota Kinabalu sebanyak tiga kes," katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Secara keseluruhan, Sabah merekodkan 476 kes baharu positif Covid-19, menjadikan kumulatif terkini sebanyak 28,155 kes dengan empat kematian, masing-masing dua di Sandakan dan satu di Tawau serta Tuaran, semalam.

Seramai 274 pesakit pula dilaporkan sembuh menjadikan kumulatif sembuh terkini sebanyak 24,793 orang, manakala seramai 2,094 pesakit masih menerima rawatan dengan 669 orang di hospital dan 1,425 orang di pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah (PKRC).

Mengulas lanjut mengenai kluster baharu terbabit, Masidi yang juga jurucakap Covid-19 kerajaan negeri berkata, Kluster Jesselton adalah berkaitan pekerja tapak pembinaan Jesselton Quay, manakala Kluster PTS Sibuga berkaitan tahanan yang ditempatkan di PTS berkenaan.

"Kluster Dermaga di Sandakan pula berkaitan dengan saringan Pelabuhan dan Dermaga Sandakan, manakala Kluster Tempasuk di Kota Belud berkaitan dengan upacara pengebumian," katanya.

Katanya, Sandakan mencatat kes tertinggi semalam iaitu 176 kes atau 36.97 peratus daripada keseluruhan kes baharu, diikuti Kota Kinabalu dengan 151 kes atau 31.72 peratus daripada keseluruhan kes baharu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 8:31 AM