Siti Rohana Idris

Kota Bharu: "Hidup kami berubah sekelip mata apabila dapat beli motosikal dengan wang sumbangan orang ramai dan esok akan berpindah ke rumah sewa yang jauh lebih selesa dari sekarang," kata Che Muhammad Arif Che Suhaimi.

Kisah remaja berusia 19 tahun menjaga ibunya yang menghidap strok hampir dua tahun lalu itu pernah dilaporkan media sebelum ini dan pengorbanannya itu mengundang simpati serta pujian orang ramai.

Che Muhammad Arif berkata, dia perlu memanfaatkan sebaiknya sumbangan yang diterima dan atas dasar itu dia membeli sebuah motosikal terpakai dengan harga RM2,780 untuk kegunaan mereka sekeluarga.

"Sebelum ini, saya dan tiga adik hanya menunggang basikal untuk ke mana-mana dan jika basikal rosak, banyak kerja tertangguh dan adik pula tidak dapat ke sekolah.

"Sebaik membawa pulang motosikal itu pada minggu lalu, saya terus belajar menunggangnya dan berhasrat akan mengambil lesen motor dalam masa terdekat," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gok Kapur di sini.

Terdahulu, dia menerima kunjungan daripada kumpulan aktivis masyarakat Cempaka Merah Asnaf Society dan I-Kasih yang menyerahkan sumbangan kewangan untuk kegunaan keluarga berkenaan.

CHE MUHAMMAD Arif mengelap motosikal terpakai jenis Honda Dash 125 yang dibelinya minggu lalu ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gok Kapur. FOTO SITI ROHANA IDRIS
CHE MUHAMMAD Arif mengelap motosikal terpakai jenis Honda Dash 125 yang dibelinya minggu lalu ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gok Kapur. FOTO SITI ROHANA IDRIS

Che Muhammad Arif yang juga anak kedua daripada lima beradik berkata, esok mereka akan berpindah ke rumah baharu di Kampung Tikat di sini, dan bayaran pendahuluan serta sewa bulanan diuruskan oleh pihak Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang.

Dia berkata, rumah yang mempunyai tiga bilik itu nanti dapat memberi keselesaan buat mereka lima beradik terutama ibunya, Junaidah Ismail, 55.

"Apa yang penting ibu selesa kerana tidak perlu lagi bersesak dalam rumah yang sempit dan daif, malah ibu sekarang sudah lega kerana dapat baring atas tilam dan katil khas yang disumbang seorang aktivis masyarakat.

"Saya pula mungkin akan mencari pekerjaan namun akan pastikan tidak jauh dari rumah serta masa yang fleksibel kerana perlu menguruskan ibu yang bergantung sepenuhnya kepada saya," katanya yang berhenti sekolah ketika di tingkatan satu disebabkan kekangan kewangan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2020 @ 4:27 PM