Omar Ahmad


Pasir Gudang: Banjir kilat yang melanda Kampung Sungai Rinting D di sini, pada 21 November lalu dikenal pasti berpunca daripada tebing Sungai Rinting yang runtuh.

Keadaan itu menyebabkan seramai 146 penduduk dari 21 keluarga di kampung berkenaan terjejas apabila kediaman mereka dinaiki air sehingga hampir satu meter.

Ketua Kampung Kuala Masai, Ramdhan Saian berkata, kejadian banjir kilat itu adalah yang pertama dalam tempoh 20 tahun.

Katanya, air sungai melimpah apabila hujan lebat sehingga menyebabkan rumah penduduk yang berdekatan dinaiki air.

"Banjir kilat 21 November lalu banjir paling buruk berlaku di kampung ini. Pada tahun 80-an pernah terjadi banjir lumpur disebabkan kerja naik taraf sungai ini. Selepas tempoh itu kampung ini tidak pernah terjadi banjir kilat.

"Selepas kejadian terbaru itu, penduduk mendapati tembok batu di tebing kiri kanan sungai runtuh.

"Bila tebing itu runtuh, ia menghalang laluan air sungai menyebabkan berlaku limpahan apabila hujan lebat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam tinjauan bersama Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim di Kampung Sungai Rinting D di sini, hari ini.

Sementara itu, Hassan berkata pihaknya sudah meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membuat tindakan jangka pendek dan proses membaik pulih jangka panjang.

Katanya, bagi proses jangka pendek, sisa runtuhan dan tanah di tengah sungai perlu dialihkan.

HASSAN Abdul Karim (kanan) bersama penduduk Kampung Sungai Rinting D, meninjau sungai berdekatan rumah penduduk yang semakin sempit kerana tebing sungai runtuh dan menjadi punca banjir baru baru ini. FOTO Zain Ahmed
HASSAN Abdul Karim (kanan) bersama penduduk Kampung Sungai Rinting D, meninjau sungai berdekatan rumah penduduk yang semakin sempit kerana tebing sungai runtuh dan menjadi punca banjir baru baru ini. FOTO Zain Ahmed

"Apabila sisa runtuhan dialihkan, air sungai boleh berjalan seperti biasa. Ketika ini cuaca tidak menentu dan sering hujan, jadi perlu buat dengan seberapa segera bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

"Projek membetulkan tebing perlu dilakukan juga tetapi mengambil masa kerana membabitkan kos yang tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2020 @ 1:02 PM