Mohd Amin Jalil

Nilai: Kelindan lori maut selepas tercampak keluar dari kenderaannya di Kilometer 280.7 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan dekat sini, petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, kelindan berusia 32 tahun itu tercampak ke Jalan Nilai-Salak di bawah lebuh raya setinggi lima meter dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, kemalangan pada 4.15 petang itu membabitkan sebuah lori tiga tan yang dipandu lelaki berusia 38 tahun dan sebuah van.

Menurutnya, kemalangan berlaku apabila van yang dipandu di lorong paling kanan oleh seorang lelaki berusia 32 tahun dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Melaka hilang kawalan.

"Kenderaan terbabit kemudiannya terbabas ke kiri dan melanggar penghadang kiri jalan sebelum berlanggar dengan lori terbabit .

"Akibat kemalangan itu, pemandu lori berkenaan mengalami kecederaan dalaman dan sedang menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban," katanya.

SEORANG lelaki maut selepas tercampak keluar dari lori yang dipandunya dalam kemalangan di kilometer 280, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
SEORANG lelaki maut selepas tercampak keluar dari lori yang dipandunya dalam kemalangan di kilometer 280, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

Bagaimanapun, menurutnya, pemandu van terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pegawai Bomba Kanan II Muhammad Shahrudin Md Din berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada 4.25 petang.

Menurutnya, setibanya di lokasi didapati kepala lori terbabit tersangkut di penghadang jalan.

"Anggota bomba segera memberikan bantuan dan menyelamatkan mangsa yang tersepit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 7:53 PM