PENDUDUK Kampung Air Putih dipindahkan ke PPS Dewan Sivik kampung berkenaan selepas kawasan berkenaan ditenggelami air limpahan Sungai Kemaman. FOTO IHSAN PEMBACA
PENDUDUK Kampung Air Putih dipindahkan ke PPS Dewan Sivik kampung berkenaan selepas kawasan berkenaan ditenggelami air limpahan Sungai Kemaman. FOTO IHSAN PEMBACA
Baharom Bakar


Chukai: Kemaman kembali dilanda banjir apabila mengaktifkan dua pusat pemindahan sementara (PPS) hari ini.

Ia susulan hujan berterusan di daerah itu sehingga menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air dan 279 mangsa daripada 79 keluarga ditempatkan di dua PPS terbabit iaitu Dewan Serbaguna Kampung Air Putih dan Balairaya Kampung Teladas.

Pada masa sama, Pejabat Daerah Kemaman membuka bilik gerakan bencana berkuat kuasa tengah hari.

Pegawai Daerah Kemaman, Mohd Sophian Abu Bakar berkata, semua jabatan dan agensi perlu bekerjasama mengikut pelan tindakan operasi ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berkata, setiap maklumat diterima terutama membabitkan bencana banjir perlu disalurkan kepada bilik gerakan bencana untuk disahkan bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan.

Sehingga 5 petang hari ini, jumlah mangsa banjir ditempatkan di 11 PPS di lima daerah adalah 698 orang membabitkan 201 keluarga.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA), Che Adam A Rahman berkata, daerah Dungun mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 361 orang membabitkan 104 keluarga.

"Semua mangsa banjir di Dungun ditempatkan di empat PPS.

"Di daerah Kuala Nerus, seramai 27 mangsa banjir dari sembilan keluarga masih ditempatkan di tiga PPS.

"Seramai 17 mangsa dari empat keluarga di daerah Kuala Terengganu ditempatkan di satu PPS, manakala 14 mangsa dari lima keluarga ditempatkan di satu PPS di daerah Marang, " katanya menerusi kenyataan dikeluarkan, hari ini.

Sementara itu, dua sungai iaitu Sungai Kemaman dan Dungun melepasi paras bahaya.

Data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri memaklumkan stesen bacaan di Sungai Kemaman iaitu di Kampung Air Putih mencatatkan bacaan 15.02 meter mengatasi paras bahaya 14.0 meter.

Selain itu, Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja mencatatkan bacaan 38.16 meter melebihi paras bahaya 37.50 meter.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 6:24 PM