Omar Ahmad

Johor Bahru: Kebanyakan harga sayuran tempatan naik melebihi RM2 sekilogram di sebahagian negeri ini.

Peniaga sayur, Asuad Salim, 49, berkata, pembekal menjual sayur berkenaan pada harga tinggi dan dia terpaksa menaikkan harganya.

Antara sayur berkenaan ialah sawi, bayam, kacang penjang dan timun.

"Secara keseluruhan, harga semua sayur ini naik lebih RM2 sekilogram. Sebelum ini, sayuran berdaun boleh diperoleh daripada pembekal pada harga RM2.50 sekilogram, kini meningkat kepada RM4.50.

"Mungkin ia berpunca daripada faktor cuaca atau tenaga kerja di ladang. Biasanya harga sayuran akan turun naik bergantung kepada cuaca. Kalau cuaca baik, harga turun dan sebaliknya jika cuaca kurang baik.

"Minggu lalu, limau kasturi dijual pada harga RM12 sekilogram dan kini, harganya RM7.50 sekilogram," katanya.

WAN Baharuddin menunjukkan buah limau kasturi yang mencatat kenaikan harga berbanding sayuran lain di pasar awam Pusat Perniagaan Baharu Pasar Taman Dahlia Johor Bahru.  FOTO Zain Ahmed
WAN Baharuddin menunjukkan buah limau kasturi yang mencatat kenaikan harga berbanding sayuran lain di pasar awam Pusat Perniagaan Baharu Pasar Taman Dahlia Johor Bahru. FOTO Zain Ahmed

Asuad ditemui pada tinjauan harga sayuran di Pasar Taman Dahlia, Kempas di sini, hari ini.

Pandangan sama dikongsi peniaga sayur, Wan Baharuddin, 43.

Katanya, harga sayuran ditetapkan mengikut keadaan semasa.

"Limau kasturi memang turun harga hari ini, hanya RM7.50 sekilogram.

"Faktor kenaikan harga mungkin akibat sayuran banyak yang rosak akibat hujan. Sepanjang minggu ini, mungkin cili merah dijual mahal. Cili merah gred A dijual pada harga RM22 sekilogram, gred B RM18 sekilogram dan ia dijangka berterusan tetapi tidak lama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 2:54 PM