GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Seramai 734 anggota barisan hadapan dalam kalangan kakitangan kesihatan di Sabah dijangkiti Covid-19 setakat hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, daripada jumlah itu seramai 85 orang atau 11.6 peratus masih positif Covid-19.

"Seramai 666 orang atau 89 peratus dilaporkan sudah sembuh setakat ini, manakala seramai 490 orang masih dalam kuarantin," katanya pada sidang media perkembangan semasa Covid-19 Sabah, di sini, malam ini.

Masidi yang juga jurucakap Covid-19 kerajaan negeri berkata, Sabah merekodkan sebanyak 84 kluster Covid-19 setakat ini dengan 63 masih aktif.

Hari ini saja, katanya, sebanyak 13 kluster mencatat pertambahan kes baharu membabitkan 61 kes keseluruhan.

"Sebanyak 21 kluster sudah ditamatkan dan bagi kluster aktif, antara penyumbang paling banyak jangkitan baharu ialah Kluster Telipok Ria di Tuaran," katanya.

Pada hari ini, dua lagi kluster baharu turut dilaporkan di negeri ini iaitu Kluster Blok 31 dan Kluster Bot Biru di Tawau, masing-masing mencatat lapan dan enam kes.

Katanya, Kluster Blok 31 dikenal pasti berpunca daripada majlis makan malam manakala Kluster Bot Biru membabitkan kakitangan Pasukan Polis Marin (PPM).

Hari ini, Sabah mencatat 326 kes baharu positif Covid-19 dengan pertambahan 33 kes berbanding semalam, menjadikan kumulatif kes setakat hari ini sebanyak 27,238.

Tiga kematian turut dilaporkan hari ini, masing-masing di Sandakan, Kota Kinabalu dan Tawau.

Sementara itu, seramai 23,781 pesakit Covid-19 dilaporkan sembuh sehingga hari ini dengan seramai 2,126 orang dibenarkan pulang pada hari ini saja.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 9:55 PM