AL-SULTAN Abdullah. FOTO BERNAMA
AL-SULTAN Abdullah. FOTO BERNAMA
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan kepada semua ahli Dewan Rakyat yang memberi sokongan bagi meluluskan Belanjawan 2021 pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Pada kenyataan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, baginda mengalu-alukan sokongan itu untuk menjamin kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat penularan Covid-19.

Menurutnya, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan kepada semua ahli Dewan Rakyat yang mendokong titah nasihat baginda pada 28 Oktober lalu untuk memberi sokongan demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat serta kemaslahatan negara.

"Sesungguhnya, selain daripada pemulihan ekonomi negara dan kelangsungan hidup rakyat, Belanjawan 2021 amat penting kepada kerajaan dan pihak berkuasa, khususnya petugas barisan hadapan, untuk meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha membendung dan menangani ancaman Covid-19," titah baginda.

Katanya, selaku ketua negara, Al-Sultan Abdullah amat menghormati setiap parti politik yang berdaftar di negara ini.

Ahmad Fadil berkata, baginda juga menghargai peranan dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada setiap ahli Dewan Rakyat dalam membela kebajikan rakyat.

"Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda amat menghargai komitmen dan semangat muafakat serta gandingan bahu setiap pihak kerana ianya amatlah penting bagi mengekalkan momentum pemulihan ekonomi demi kesejahteraan bersama.

"Marilah kita sama merenung firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa, ayat 85 yang bermaksud: "Sesiapa yang memberi syafaat (bantuan dan pertolongan) yang baik nescaya ia akan memperoleh bahagian (pahala) daripadanya. Dan sesiapa yang memberi syafaat (bantuan dan pertolongan) yang buruk nescaya ia akan mendapat bahagian (dosa) daripadanya. Dan ingatlah, Allah amat berkuasa atas tiap-tiap sesuatu."

"Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan keyakinan penuh terhadap kemampuan kerajaan untuk menerajui pentadbiran negara pada saat negara sedang diuji dengan pelbagai krisis ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2021
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 6:48 PM