PASUKAN Bomba dan Penyelamat Zon 3 melakukan gerakkan menyelamat mangsa lemas dalam Latihan Pengendalian Bot Dan Menyelamat di Air di Empangan Kahang di Kluang. FOTO Adnan Ibrahim
PASUKAN Bomba dan Penyelamat Zon 3 melakukan gerakkan menyelamat mangsa lemas dalam Latihan Pengendalian Bot Dan Menyelamat di Air di Empangan Kahang di Kluang. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim


Kluang: Tujuh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di Zon 3 bersedia menghadapi sebarang kemungkinan bencana banjir di daerah Kluang dan Batu Pahat melalui Latihan Pengendalian Bot dan Menyelamat di Air yang dilaksanakan di Empangan Kahang selama dua hari berakhir hari ini.

Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor Ahmad Murad Saad berkata, seramai 305 pegawai dan anggota termasuk anggota bomba bantuan siap sedia digerakkan jika berlaku banjir di kawasan terbabit.

Katanya, tujuh balai itu ialah BBP Renggam, Kluang, Ayer Hitam, Batu Pahat, Penggaram, Yong Peng dan Rengit.

"Melalui latihan ini, anggota akan menjalani pengendalian dan operasi menyelamat di air selain bertujuan memahirkan anggota dalam pengendalian bot.

"Latihan juga sebagai langkah pembiasaan di kawasan Zon 3 dan memastikan peralatan menyelamat seperti bot dan enjin dalam keadaan baik," katanya selepas menyaksikan Latihan Pengendalian Bot dan Menyelamat di Air di Empangan Kahang, dekat sini, hari ini.

Menurutnya, sebanyak tujuh bot serta enjin disediakan untuk tugas menyelamatkan mangsa khususnya bagi kawasan yang mudah ditenggelami air.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 4:37 PM