Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersetuju untuk menambah jumlah pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) daripada RM6,800 kepada RM8,000 bagi peminjam daripada keluarga B40 yang melanjutkan pengajian peringkat diploma di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Ia tertakluk kepada simpanan bertakaful oleh pihak IPTS bermula tahun hadapan.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Noraini Ahmad berkata, pihaknya juga bersetuju untuk meluaskan pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman PTPTN kepada pelajar IPTS daripada keluarga B40 berdasarkan syarat kelayakan PTPTN mulai 2021.

Menurutnya, kerajaan sebelum ini bersetuju untuk menangguhkan pembayaran balik PTPTN bermula April sehingga September lalu dan penyambungan moratorium kali kedua mulai Oktober sehingga Disember ini.

"Jumlah keseluruhan anggaran penangguhan bayaran balik bagi kedua-dua moratorium ini adalah sebanyak RM1.125 bilion yang dapat memanfaatkan 1.5 juta peminjam.

"Sungguhpun penangguhan diberikan, KPT mengucapkan terima kasih kepada 422,609 peminjam yang masih meneruskan bayaran balik pinjaman dengan jumlah RM595 juta bagi tempoh April hingga Oktober 2020.

"Untuk moratorium yang ketiga, kementerian mengambil tindakan awal berbincang dengan agensi berkaitan termasuklah Kementerian Kewangan dan akan dibawa untuk pertimbangan pihak kerajaan selanjutnya," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Kepada cadangan supaya faedah pinjaman dikecualikan dan diskaun bayaran balik diberikan kepada peminjam, beliau berkata, kementerian akan mengkaji cadangan ini secara serius dan pada masa yang sama memastikan kelestarian sumber kewangan PTPTN tidak terjejas untuk jangka masa panjang.

Beliau turut menjawab isu pemotongan belanjawan kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang mencecah RM130 juta, peruntukan kepada universiti itu dibahagi kepada dua iaitu UiTM dan Hospital UiTM.

"Secara keseluruhannya peruntukan kepada UiTM, tidak termasuk Hospital UiTM pada tahun 2020 adalah sebanyak RM1.737 bilion, manakala peruntukan untuk 2021 pula adalah sebanyak RM1.733 bilion iaitu pengurangan sebanyak RM4 juta.

"Pengurangan ini akan ditampung kementerian menerusi penjimatan dalaman yang akan dilaksanakan pada tahun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 1:53 PM