Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Tiada pengajian tertangguh di universiti awam (UA) setakat ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, ini kerana UA sudah membuat penjadualan semula kalendar akademi masing-masing.

Beliau berkata, pihaknya memberi kelonggaran kepada lima kategori mahasiswa berkeperluan sekiranya mempunyai masalah daripada segi liputan Internet dan sebagainya.

"Untuk pulang ke kampus pula, ia secara berperingkat. Ini bagi memenuhi keperluan Pengajaran dan Pembelajaran untuk bidang pengajian berdepan kesukaran untuk mengikuti pengajian secara dalam talian," katanya ketika sesi pertanyaan dan jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Noor Amin Ahmad (PKR-Kangar) meminta Menteri Pengajian Tinggi menyatakan bagaimana kementerian dapat menjamin mahasiswa dapat menghabiskan silibus dan mengikuti kualiti pembelajaran di institusi pengajian tinggi.

Sidang Dewan Rakyat. FOTO ihsan Parlimen
Sidang Dewan Rakyat. FOTO ihsan Parlimen

Noraini berkata, lima kategori itu termasuklah pelajar pasca siswazah bon penyelidikan UA yang sedang menjalani pengajian, penuntut tahun akhir peringkat sijil, diploma dan ijazah sarjana muda.

Beliau berkata, selain itu, penuntut tahun akhir yang tidak mempunyai akses Internet, pelajar berkeperluan khas yang mengikuti program teknikal dan vokasional di politeknik dan kolej komuniti serta mahasiswa kemasukan baru bagi sesi akademik 2021 di semua UA, swasta, politeknik dan kolej komuniti.

"UA diminta buat jadual akademi yang rapi berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara sekiranya berlaku senario apabila jadual makmal penuh sebagai contoh.

"UA dibenarkan tawar semester tiga atau semester pendek bagi pelajar untuk memenuhi keperluan kursus itu," katanya.

Beliau berkata, sehingga 24 November 2020, sejumlah 44,188 penuntut UA masih berada di kampus untuk meneruskan pengajian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 11:12 AM