LAPORAN portal berita Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal berita Harian Metro sebelum ini.
Nor Haidya Syafira Amir


Kuala Lumpur: Tiada DNA babi. Itu keputusan diperoleh selepas Jabatan Kimia Malaysia melakukan ujian terhadap sampel daging di dalam mi kari dari sebuah restoran di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Pengarah Bahagian Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, melalui keputusan analisa, restoran itu tidak melakukan kesalahan atau melanggar undang-undang di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 atau Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011.

"KPDNHEP akan meneruskan pemantauan secara proaktif dan konsisten berhubung penguatkuasaan halal bagi memastikan pengusaha makanan dan minuman sentiasa patuh terhadap perundangan yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Baru-baru ini tular di media sosial satu rakaman video di media sosial apabila restoran terbabit menyajikan mi kari mengandungi bahan mentah disyaki daging babi.

Iskandar Halim berkata, pihaknya akan memastikan pengusaha tidak sewenangnya menyalahgunakan kelulusan yang diberikan dengan maksud berselindung dan mengaburi pengguna melalui kelulusan ini.

Pada masa sama, beliau berkata, orang ramai diminta supaya sentiasa bertanggungjawab dalam menyebarkan berita dan isu yang tidak sahih melalui media sosial yang boleh memberikan kesan negatif dan tidak adil kepada pihak berkenaan.

Katanya, sebarang maklumat atau semakan mengenai isu halal di talian Hotline 1-800-886-800 atau 03-8882 6088 di Enforcement Command Centre (ECC), melalui web KPDNHEP serta menerusi aplikasi WhatsApp ke talian 019-2794317 supaya tindakan sewajarnya boleh diambil.

"Setiap aduan harus mengandungi nama, nombor telefon, premis, lokasi, gambar aduan yang dimaksudkan serta resit jika aduan berkaitan harga dan pembelian," katanya.

Berita berkaitan

'Oldtown White Coffee pemegang sijil halal Jakim'

'Restoran terkenal jual mi kari babi?'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 12:36 PM