Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Polis mengeluarkan kompaun terhadap 231 individu kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Taman Shamelin Perkasa, Cheras, malam tadi.

Dalam serbuan bermula 9 malam itu, pelanggan pusat hiburan terbabit yang leka berhibur dengan iringan muzik kuat, tidak menyedari mereka diserbu anggota dan pegawai dari Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Bukit Aman.

Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Azmi Adam berkata, pihaknya turut menahan dua pelanggan berusia 43 dan 47 tahun kerana menghalang tugas penjawat awam.

"Turut ditahan 11 warga asing termasuk tiga pekerja dari Vietnam, Bangladesh dan China.

"Pemeriksaan mendapati premis adalah pusat hiburan berbentuk pub yang menggunakan lesen restoran untuk beroperasi sepanjang tempoh PKP," katanya.

Azmi berkata, ketika serbuan dijalankan pemilik didapati memasang muzik dalam keadaan kuat dan lampu di dalam premis dalam keadaan samar.

SEBAHAGIAN pengunjung pusat hiburan yang dikompaun kerana ingkar PKPB, malam tadi. FOTO ihsan polis.
SEBAHAGIAN pengunjung pusat hiburan yang dikompaun kerana ingkar PKPB, malam tadi. FOTO ihsan polis.

Beliau berkata, pelanggan di dalam premis tidak mengamalkan penjarakan fizikal selain premis didapati beroperasi sejak sebulan lalu.

"Pemeriksaan lesen terhadap premis berkenaan mendapati premis tidak mempunyai lesen hiburan dan tidak mempunyai lesen minuman keras.

"Polis merampas pelbagai peralatan termasuk alat pembesar suara, minuman keras, resit jualan harian dan wang tunai bernilai RM1,532.

"Semua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1963, Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Berjangkit) 2020 dan Seksyen 32 Akta Eksesais 1976," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2020 @ 1:17 PM