Keadaan banjir di Kampung Parit Penghulu Benteng, Sungai Rambai. FOTO AMIR MAMAT
Keadaan banjir di Kampung Parit Penghulu Benteng, Sungai Rambai. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat

Jasin: Jumlah mangsa banjir di beberapa kawasan di negeri ini dijangka meningkat menjelang tengah malam ini berikutan hujan lebat berlaku tanpa henti sejak jam 6 petang tadi.

Kawasan yang dikategorikan sebagai lokasi 'panas' banjir seperti di Sungai Rambai, Tehel, Ayer Molek dan Durian Tunggal dijangka menyaksikan peningkatan mangsa secara mendadak selepas beberapa laporan memaklumkan air laut pasang akan berlaku beberapa jam lagi.

Keadaan itu sekali gus menyebabkan mangsa yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ketika ini, akan terus berkampung' lebih lama berikutan kediaman mereka terus ditenggelami banjir.

Sehingga lewat petang tadi, keadaan banjir di beberapa kawasan seperti di Kampung Parit Penghulu Benteng, Sungai Rambai di sini, masih belum surut apabila beberapa kediaman penduduk dinaiki air sedalam kira-kira 0.7 meter.

Keadaan itu memaksa pihak berkuasa membuka satu lagi PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Gantong bagi menempatkan 23 mangsa yang terjejas akibat bencana itu.

Selain itu, PPS di SK Ayer Molek turut menunjukkan peningkatan apabila 100 mangsa terpaksa berpindah di situ berbanding 93 sebelum ini, manakala PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Katil juga meningkat kepada 122 mangsa berbanding 85 sebelum ini.

PPS di SK Tehel dan SK Durian Tunggal pula masing-masing kekal dihuni 125 mangsa dan 57 mangsa manakala Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Shuh Yen pula meningkat kepada 61 orang berbanding 39 mangsa sebelum ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Effandy Ali, dalam satu kenyataannya berkata, pihaknya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga berikutan keadaan hujan lebat petang tadi, yang memungkinkan keadaan air di beberapa kawasan kembali meningkat.

"Justeru, penduduk di kawasan terjejas dinasihatkan supaya bersiap sedia jika keadaan banjir berlaku semula di tempat mereka," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Abd Rahman mengadakan lawatan ke PPS di SK Parit Gantong, petang tadi.

Selain itu, beliau turut melawat ke beberapa kediaman penduduk yang dinaiki air dan berjanji akan menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk berkenaan secepat mungkin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2020 @ 8:20 PM