Anggota polis melakukan pemeriksaan di sekatan jalan raya di Pulai Chondong, Machang semalam. Foto Bernama
Anggota polis melakukan pemeriksaan di sekatan jalan raya di Pulai Chondong, Machang semalam. Foto Bernama
Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Tidak tahu pelaksanaan Perintah kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) antara alasan yang sering digunakan segelintir masyarakat di Kelantan untuk merentas daerah.

Ketua Polis Kelantan Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, pelbagai alasan dicipta bagi melepasi sekatan jalan raya, namun pihak polis akan mengarahkan mereka berpatah balik sekiranya alasan yang diberikan tidak masuk akal.

"Macam-macam alasan yang diberikan, tidak tahu PKPB, ada yang kata mahu berjalan ke rumah kawan-kawan selain ada mendakwa untuk bekerja tetapi gagal mengemukakan surat majikan.

"Kita percaya segala alasan itu hanya direka semata-mata mahu melepasi sekatan polis. Bagi mereka yang benar-benar mengemukakan alasan kukuh, kita membenarkannya," katanya ketika dihubungi.

Shafien berkata, memasuki hari kedua pelaksanaan PKPB di Kelantan, tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di negeri itu setakat ini adalah memuaskan.

"Susah untuk kita katakan tahap sebenar kerana baru memasuki hari kedua. Namun setakat ini pematuhan rakyat Kelantan boleh dikatakan memuaskan.

"Jumlah kenderaan di jalan raya juga berkurangan kepada 30 hingga 40 peratus setakat ini," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mematuhi SOP yang ditetapkan dan jangan merentas daerah sekiranya tiada keperluan.

Sebelum ini dilaporkan kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kelantan tengah malam kelmarin sehingga 6 Disember ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPB itu dilaksana bagi membolehkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksana saringan secara bersasar dan mengurangkan pergerakan dalam kalangan komuniti di seluruh negeri itu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2020 @ 3:02 PM