KAWASAN di Sik yang ditenggelami air  berikutan hujan lebat menyebabkan banjir kilat berlaku. FOTO IHSAN APM
KAWASAN di Sik yang ditenggelami air berikutan hujan lebat menyebabkan banjir kilat berlaku. FOTO IHSAN APM
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Sebelas kampung di dua daerah di negeri ini dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat sejak petang tadi.

Pegawai Pengurusan Bencana dan Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, sembilan dari kampung terjejas ialah di Sik manakala dua kampung lagi di Bandar Baharu.

Beliau berkata, setakat ini pemantauan dilakukan anggotanya di kawasan yang terjejas akibat banjir kilat.

"Kampung di Sik yang dinaiki air ialah Kampung Kota Bukit, Kampung Changhai, Kampung Kuala Ruman, Kampung Kota Bukit, Kampung Parit, Kampung Langgok, Kampung Kerawai, Kampung Bandar Hilir dan Kampung Charuk Kechil.

"Dua kampung di daerah Bandar Baharu pula ialah Kampung Batu 16 dan Kampung Tengah berikutan paras air di Sungai Punti naik sehingga 0.4 meter yang menyebabkan lima rumah ditenggelami air," katanya ketika dihubungi hari ini.

Saifuddin berkata, APM Padang Terap turut melakukan pemantauan di Kampung Pong Manis, Kampung Padang Lalang, Kampung Sena, Kampung Kuala Pai dan Pokok Machang yang sedang dinaiki air.

Bagaimanapun katanya, keadaan di kawasan itu masih terkawal.

"Sehubungan itu beliau menasihatkan penduduk yang tinggal berhampiran kawasan sungai supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan bersedia untuk berpindah sekiranya hujan berterusan dan kawasan mereka dinaiki air," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 9:35 PM